Misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki dikenali sebagai M Tishant sejak Khamis lalu di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor terjawab apabila mayat budak 6 tahun itu ditemui dalam keadaan menyayat hati, ditanam di kawasan belukar di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.
Penemuan itu susulan penahanan bapa mangsa yang berusia 36 tahun oleh Polis Johor, pada Jumaat.
Menurut laporan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, sebelum mayat mangsa dijumpai, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kes Orang Hilang.
Artikel berkaitan: “Mungkin dia nak keluar tapi…” – Kes Budak Maut Tertinggal Dalam Van Sekolah, Bapa Mahu Keadilan Buat Anak
Artikel berkaitan: Ibu Didakwa Sibuk Pergi Spa, Tinggalkan Anak Dalam Kereta Selama 2 Jam Sampai Kena Sawan
Namun selepas polis melakukan siasatan lanjut, pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah menahan bapa kanak-kanak itu sehingga membawa kepada penemuan mayat mangsa yang disyaki dibunuh.
Susulan itu, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh.
Ibu dakwa anak diculik & disembunyikan
Menurut sumber lagi, sehari sebelum kanak-kanak itu ditemukan maut, ibunya mendakwa bahawa mangsa diculik oleh suami sendiri.
Katanya menerusi laman sosial TikTok, dia mendakwa bahawa suaminya bertanggungjawab atas insiden kehilangan anak mereka.
Menurut wanita itu, keluarganya berusaha mengesan mangsa dan bimbang akan keselamatan kanak-kanak berkenaan.
“Suami saya culik dan sembunyikan anak, sekarang dia mendakwa anak hilang,” dakwanya.
Terdahulu, bapa kanak-kanak itu membuat laporan anaknya hilang ketika ditinggalkan sebentar dalam kereta untuk membeli makanan.
Lelaki berkenan kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari untuk membantu siasatan.
Sumber: Berita Harian