Antara punca perceraian yang biasa kita dengar adalah disebabkan masalah kewangan, kurang komunikasi dan isu curang.
Namun, situasi yang berlaku kepada seorang wanita di Terengganu ini berbeza apabila diceraikan hanya kerana melakukan pembedahan membuang sebelah payudara akibat kanser tahap empat.
Wanita yang dikenali sebagai Mimi Mohd, 54, berkata, dia mengikut nasihat doktor supaya sebelah daripada payudaranya perlu dibuang, bagi mengelak sel kanser merebak.
Artikel berkaitan: Isteri Tekad Bercerai Dengan Suami Taksub Dengan Marathon
“Namun, dalam masa sama suaminya (bekas) tidak mahu dia membuang payudara yang mempunyai sel kanser itu.
“Saya nekad, walaupun tidak dibenarkan suami, namun saya teruskan pembedahan membuang sebelah payudara kerana nyawa adalah lebih penting,” katanya.
Menurut Mimi, suaminya berang dengan tindakan membuang sebelah payudara. Disebabkan tidak setuju, suaminya kemudian membuat tuntutan untuk menceraikannya.
Katanya, dia akur dengan kehendak suaminya untuk menceraikannya dan dia tidak boleh menerima cadangan suaminya ketika itu yang memintanya berubat secara tradisional.
Diperli hanya mampu hidup setahun sahaja
Ujar Mimi lagi, suaminya pernah berkata orang yang menghidap kanser payudara sepertinya hanya mampu hidup setahun sahaja.
“Bagi saya ajal, maut, jodoh itu ketentuan Allah SWT dan selepas tujuh tahun pembedahan saya masih bernafas seperti biasa dan akibat tekanan daripada suami ketika itu, saya kini menghidap pelbagai penyakit termasuk kemurungan, penyakit sendi, tekanan perasaan dan pelbagai lagi,” katanya.
Tambahnya, dia tidak menyangka ketika dia bertarung nyawa melawan kanser, suaminya tidak memberi semangat, malah menambah tekanan kepada dirinya.
“Kini saya anggap sudah terlepas dari ‘neraka dunia’ kerana tersalah dalam berkongsi hidup dengan manusia yang tidak pandai menghargai,” katanya.
Kini, dia tinggal bersama anak keduanya selepas diceraikan dan anak-anaknya tidak menyangka bapa mereka sanggup berbuat begitu.
Difahamkan, Mimi sedang mendapatkan haknya iaitu nafkah penjagaan anak daripada bekas suami.
Sumber: Harian Metro