Istiadat angkat sumpah Menteri Besar Perlis yang baharu dijangka berlangsung tengah hari ini, sekali gus menjawab persoalan mengenai siapa yang bakal menerajui pentadbiran negeri berkenaan.
Majlis berkenaan difahamkan akan diadakan di Istana Arau, dengan calon Menteri Besar baharu dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Beberapa nama kini menjadi perhatian, antaranya Exco Kanan kerajaan negeri daripada PAS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Muhammad Azmir Azizan.
Selain itu, ADUN Kuala Perlis daripada BERSATU, Abu Bakar Hamzah, turut disebut sebagai calon berpotensi berdasarkan pengalaman serta prestasi beliau sepanjang berkhidmat dalam barisan Exco kerajaan negeri sebelum ini.

Artikel berkaitan: Pelajar Nekad Tunggang Motor Seorang Diri Ke Perlis Dari Sepang Daftar Universiti Di Unimap
Artikel berkaitan: “RM4 billion duit kita mengalir ke negara jiran” – Perlis Pertimbang Kenakan Caj RM2 Masuk Ke Thailand
Pelantikan Menteri Besar Perlis baharu dibuat susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli pada Khamis lalu yang dimaklumkan berpunca daripada masalah kesihatan.
Bagaimanapun, sebelum pengundurannya, media melaporkan beberapa ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) di negeri itu didakwa telah menghadap Raja Perlis bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.
Susulan perkembangan tersebut, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Rabu lalu mengumumkan keahlian tiga ADUN PAS iaitu ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail; serta ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim digugurkan serta-merta.
