Baru-baru ini, tular gambar dua pelajar sekolah membonceng motosikal dengan memakai baju sekolah yang telah diconteng dengan perkataan menghina cikgu bagi menyambut hari terakhir peperiksaan SPM.
Menconteng baju sekolah ni, memang dah menjadi “adat” beberapa sekolah di Malaysia sebagai tanda berakhirnya zaman persekolahan tapi biasanya ia dibuat dengan ucapan-ucapan dari rakan-rakan.
Namun dua pelajar ini telah mengambil kesempatan ini untuk menghina cikgu dan perbuatan mereka telah tular di media sosial.
Ekoran ini, mereka telah pun didakwa di Mahkamah Majistret, Kota Bharu pagi tadi, lapor Harian Metro.
Ketika pertuduhan dibacakan, kedua-dua remaja berusia 17 tahun ini mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri,
Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar ini didapati telah memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam.
Oleh itu, mereka telah didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dikenakan denda tak melebihi RM100.
Mahkamah telah membenarkan kedua-dua remaja ini dijamin RM100 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes dan laporan akhlak ditetapkan pada 22 Jun nanti.
Sebelum ini, pelajar di dalam gambar tular tersebut telah pun memohon maaf secara terbuka atas perbuatannya itu.
Aduh, tak pasal-pasal je kena dakwa. Harapnya dorang belajarlah dari kesilapan ni.