Tatkala seluruh umat Islam ketika ini sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, tentera Israel dengan tanpa rasa bersalahnya menyerbu Masjid Al-Aqsa, melepaskan bom tangan dan juga menyerang jemaah Palestin yang sedang mengerjakan ibadah di dalam masjid berkenaan.
Menurut saksi, kejadian pada malam Rabu berkenaan juga menyaksikan pertembungan antara pihak polis dan orang awam di masjid berkenaan dan dalam kejadian tersebut, lebih 350 orang telah ditahan.
Bulan Sabit Merah Palestin berkata 12 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran sebelum ini kerana terkena tembakan peluru getah dan dipukul.
Tindakan kejam Israel ini telah mengundang kritikan seluruh dunia antaranya Turki, Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa negara serta badan lain temasuklah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang turut melahirkan rasa terkejut dan kebimbangan.
Malaysia calls upon the international community, in particular the United Nations Security Council to hold the Israeli regime accountable and responsible for the heinous crimes, and for them to release immediately all Palestinian detainees.
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) April 6, 2023
Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan rasa dukacita atas serangan berkenaan dan tetap dengan pendirian bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengangkat status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak Suci Umat Islam.
Menurut ciapan PMX berkenaan, beliau menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk meminta rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah kejam, dan agar mereka membebaskan segera semua tahanan Palestin.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyarankan masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat Hajat selepas solat Isyak pada hari ini, 6 April 2023.
Menurut pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya turut menyarankan bacaan Qunut Nazilah serta solat Hajat diadakan selepas solat Jumaat esok (7 April) bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin.
Solat hajat juga akan diadakan di seluruh masjid dan surau di Selangor selepas solat Jumaat minggu ini susulan serangan rejim Zionis berkenaan.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ianya sebagai tanda solidariti kepada mangsa serangan tersebut selain menegaskan kerajaan negeri dan rakyat Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang menyerang umat Islam berkenaan.
Baca : Sudah Seperti Acara Tahunan, Israel Sekali Lagi Serang Masjid Al Aqsa Pada Bulan Ramadan