Semalam, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pemergian penyanyi legend tanah air, Datuk M Daud Kilau yang meninggal dunia pada jam 4.40 petang, Isnin di Hospital Teluk Intan, Perak.
Menurut Astro Awani, M Daud Kilau atau nama penuhnya, Mohd Daud bin Kilau mengalami masalah penyakit jantung, paru-paru berair dan kebas anggota kaki dan tangan. Pernah juga dimasukkan ke hospital gara-gara sesak nafas.
Terbaru, salah seorang cucu kepada Allahyarham Datuk M Daud Kilau, Norhasliyana Hassan berkongsi kenangan terakhir sebelum arwah datuknya meninggal dunia.
Detik terakhir sebelum pergi..
Menerusi laporan Berita Harian, arwah berpesan supaya jenazahnya diuruskan dengan baik jika tiba masa untuk ‘pergi’ namun Norhasliyana menganggap arwah datuknya sedang ‘mamai’.
Atuk beritahu beliau akan pergi. Atuk sempat berpesan agar jenazahnya dimandi dan dikafankan betul-betul.
Saya hanya mendengarnya, tetapi, saya tidak terlalu memberi perhatian sebab anggap atuk ‘mamai’. Atuk minta minta maaf, atuk beritahu nak pergi dah.
Norhasliyana juga tidak menyangka perbualan ringkas itu menjadi perbualan terakhir bagi dirinya bersama Allahyarham.
Artikel berkaitan: “Saya dah tak larat nak berdiri dan bergelek lagi” – M Daud Kilau Putus Untuk Lupakan Dunia Hiburan
Artikel berkaitan: “Syarat mesti tahu bergelek masa menyanyi” – M Daud Kilau Cari Pengganti, Mahu Tinggalkan Dunia Nyanyian & Fokus Ibadah
“Atuk menyanyi lagu Cek Mek Molek..”
Datuk M Daud Kilau yang disifatkan penyayang dengan sembilan orang cucu selalu menghiburkan Norhasliyana dengan lagu popular, ‘Cek Mek Molek’.
Kadang-kadang apabila atuk telefon, dia selalu tanya, cucu atuk buat apa?’ Selepas itu, atuk menyanyi lagu Cek Mek Molek kepada saya. Kenangan ini saya mesti rindu hendak dengar dan lihat senyuman atuk.
Sejak arwah dimasukkan ke hospital pada 12 Disember lalu, arwah dikatakan tidak tersenyum lagi dan memberi tindak balas minimum.
Norhasliyana berkata, dia pulang ke Kuala Lumpur kerana diberitahu bahawa keadaan datuknya sudah stabil namun apabila dia sampai ke Kuala Lumpur, kesihatan arwah semakin merosot.
Kami fikir akan teruskan dengan pembedahan kaki atuk yang sepatutnya dibuat semalam. Tetapi apabila saya sampai Kuala Lumpur, keadaan atuk semakin merosot.
Difahamkan, kesihatan Allahyarham juga merosot sejak bulan Mac lalu dan bertambah buruk awal bulan Disember ini.
Kita doakan moga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sumber: Berita Harian, Astro Awani