in

Selain Wakil Malaysia, Ini 7 Figura Terkenal Yang Sertai Global Sumud Flotilla 2025

Untitled design 43

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sejak lebih sedekad, Gaza terus berdepan dengan pengepungan ketat oleh Israel yang menyekat laluan darat, udara dan laut. Situasi ini bukan sahaja menjerut kehidupan harian penduduk Palestin, malah juga menafikan hak asasi mereka untuk bebas bergerak serta mendapatkan bantuan kemanusiaan.

Sebagai tindak balas, lahirlah inisiatif misi kemanusiaan maritim yang dikenali sebagai Global Sumud Flotilla (GSF), iaitu sebuah usaha kolektif antarabangsa untuk mencabar sekatan Israel dan menghantar barang keperluan kepada penduduk di Gaza.


Flotila ini juga disertai oleh seramai 497 peserta daripada 46 negara. Sebab tu flotila ni dianggap sebagai simbol keberanian, kerana setiap pelayaran membawa kepada risiko tinggi.

Menariknya, barisan peserta GSF bukan sekadar terdiri daripada aktivis dan sukarelawan biasa, tetapi antara mereka adalah tokoh berpengaruh dari seluruh dunia. Kehadiran mereka menjadikan flotila ini lebih daripada sekadar misi kemanusiaan.

Negara kita juga tidak ketinggalan apabila beberapa figura terkenal tempatan turut menyertai GSF. Antaranya adalah selebriti Zizi Kirana, Ardell Aryana, PU Rahmat dan ramai lagi sebagai sukarelawan GSF. Penyertaan wakil dari Malaysia ini jelas menambah suara solidariti, malah menunjukkan bahawa orang kita turut memperjuangkan kebebasan rakyat Gaza.

Jadi kalau korang curious, siapa antara figura terkenal yang ikut bersama Global Sumud Flotilla 2025 ni, jom baca artikel di bawah.

Mandla Mandela 

mandla mandela jerusalem

Siapa sangka, semangat perjuangan yang pernah dibawa oleh Nelson Mandela menentang apartheid kini diteruskan oleh cucunya, Mandla Mandela yang kini berada di barisan hadapan menentang penindasan Israel terhadap Palestin.

Beliau merupakan ahli parlimen bagi African National Congress (ANC) dan juga ketua tradisional di kawasan Mvezo, iaitu kampung asal bagi keluarga Mandela. Mandela sering lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin.

Mandela juga pernah memberitahu kepada wartawan bahawa penglibatannya dalam Global Sumud Flotilla ini ibarat menyambung legasi keluarganya dalam memperjuangkan hak asasi rakyat, sama seperti sejarah keluarganya dalam memperjuangkan penentangan terhadap apartheid di Afrika Selatan dahulu.

“Sebagai orang Afrika, kami sangat faham bagaimana rasanya hidup di bawah penjajahan dan penindasan,” katanya kepada wartawan antarabangsa.

Artikel Berkaitan: “Ditangkap pun cukup gagah & redha” – Kelibat Sukarelawan Malaysia Dalam Video Menteri Israel Hina Aktivis Flotila – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: “Jika kalian tonton video ni…” – Musa Nuwayri Tegaskan Aktivis Tidak Sentuh Makanan Yang Diberikan Ketika Ditahan – Lobak Merah

Shahidul Alam 

shahidul alam business standard

Shahidul Alam merupakan seorang jurugambar tersohor dari Bangladesh serta merupakan warga pertama dari negaranya yang menyertai Global Sumud Flotilla 2025 yang ingin memecahkan pengepungan Israel.

Menurut Arab News, beliau menjelaskan bahawa penglibatannya adalah untuk menunjukkan solidariti rakyat Bangladesh terhadap perjuangan Palestin.

Saya rasa inilah masanya untuk menunjukkan bahawa rakyat Bangladesh bukanlah tidak berdaya sebab kami pernah menjatuhkan seorang diktator di negara kami sendiri. Jadi, kami mahu dunia bebas daripada para diktator,” katanya.

Selain dikenali sebagai jurugambar, beliau juga seorang pendidik, pembina institusi media, dan aktivis yang dihormati. Beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan atas hasil kerjanya mendokumentasikan pelanggaran hak asasi manusia dan pergolakan politik di Bangladesh selama lebih empat dekad.

Pada tahun 2018, beliau pernah dinamakan sebagai Person of the Year oleh majalah Time, dan juga menjadi individu berkulit berwarna pertama yang mempengerusikan juri World Press Photo. 

Terbaharu ini, beliau telah berlepas dari Dhaka menuju ke Sicily untuk bersama dengan gelombang baharu bot yang menyusuri laluan Global Sumud Flotilla, yang sebelum ini telah belayar dari Itali, Sepanyol dan Tunisia.

Liam Cunningham

liam cunningham rte

Pelakon Ireland yang dikenali ramai menerusi watak Davos Seaworth dalam siri popular Games of Thrones turut menyertai GSF. Kehadiran beliau menarik perhatian kerana jarang sekali kita nak nampak figura Hollywood terlibat secara langsung dalam misi kemanusiaan berisiko tinggi seperti ini.

Selain kerjaya lakonannya yang cemerlang di pentas antarabangsa, Cunningham juga dikenali sebagai individu yang lantang menyuarakan isu kemanusiaan. Beliau pernah bekerjasama dengan beberapa organisasi bantuan antarabangsa dan sering menggunakan pengaruhnya untuk menarik perhatian dunia terhadap krisis global.

Penyertaan Liam Cunningham dalam GSF memperlihatkan bagaimana suara dari dunia seni dan hiburan juga boleh menjadi sebahagian daripada solidariti global menentang pengepungan Israel ke atas Gaza.

Adèle Haenel

adele haneal

Adèle Haenel pula merupakan pelakon Perancis yang turut mengumumkan penyertaannya dalam GSF. Beliau pernah dikenali sebagai salah seorang bintang besar industri perfileman Perancis, namun meninggalkan dunia lakonan sebagai protes terhadap kegagalan industri dalam menangani isu seksisme dan ketidakadilan.

Penyertaan beliau dalam flotila ini menunjukkan bahawa perjuangannya melangkaui layar perak, kerana beliau kini memilih untuk berdiri bersama rakyat Palestin yang sudah lama ditindas oleh Israel. Beliau dilaporkan mengikuti flotila ini dari Tunis, selepas menjalani latihan dua hari sebagai persiapan misi.

Namun, menurut L’Orient Today, beliau terpaksa berundur daripada pelayaran tersebut akibat kerosakan enjin kapal yang dinaikinya. Meskipun begitu, beliau tetap menegaskan sokongannya terhadap misi flotila ini dan menyeru agar laluan bantuan misi kemanusiaan ke Gaza dibuka.

Mariana Mortágua

Mariana Mortagua cnn

Mariana Mortágua ialah ahli politik dan ahli ekonomi dari Portugal yang memimpin parti Bloco de Esquerda yang dilaporkan turut mengikuti bersama perjuangan GSF.

Meskipun beliau merupakan seorang wakil rakyat, beliau menjelaskan bahawa penyertaannya ini tidak ada kaitan dengan dasar rasmi kerajaan, malah merupakan keputusan peribadi untuk menyertai GSF sebagai peserta. Selain beliau, aktivis Miguel Duarte dan pelakon Sofia Aparício daripada Portugal juga mengikuti GSF ini dengan tujuan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Beliau juga adalah saksi langsung kepada penyerangan dron di laut semasa berada di perairan Tunisia. Walaupun tiada kecederaan dilaporkan selepas kejadian berikut, namun insiden tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dari seluruh dunia.

Ada Colau 

ada colau

Ada Colau ialah seorang aktivis sosial yang juga merupakan bekas Datuk Bandar Barcelona turut menjadi salah seorang tokoh terkenal yang menyertai GSF. Beliau dikenali sejak awal melalui perjuangannya menentang penindasan di Sepanyol dan sering lantang bersuara dalam membela isu hak asasi manusia di pentas antarabangsa.

Sebelum belayar, beliau mengakui risiko keselamatannya yang besar iaitu termasuklah ancaman serangan dron atau campur tangun ketenteraan Israel. Namun, beliau menegaskan bahawa risiko sebenar adalah membiarkan rakyat Palestin terus menderita di bawah sekatan tanpa tindikan solidariti antarabangsa.

Beliau juga berpendapat bahawa penyertaan secara aman adalah satu hak yang sah dan mampu memberi tekanan kepada kerajaan untuk bertindak. Beliau menegaskan bahawa sokongan antarabangsa kini semakin jelas, dengan ramai pihak tampil menentang pembunuhan kanak-kanak dan pencabulan undang-undang antarabangsa oleh Israel.

“Gaza tidak bersendirian dan kami akan terus melangkah untuk memecahkan kepungan ini,” tegasnya.

Greta Thunberg

greta forbes

Greta Thunberg merupakan seorang aktivis iklim terkenal dari Sweden yang menganggap isu Palestin sebagai isu yang tidak boleh diabaikan. Baginya, berdiam diri terhadap apa yang berlaku di Gaza sama sahaja seperti bersubahat terhadap penindasan.

Sebelum menaiki kapal menuju ke Gaza, beliau menegaskan bahawa dunia tidak boleh menutup mata terhadap penafian hak asasi rakyat Palestin, bahkan hak mereka terhadap keperluan asas. Beliau juga menekankan bahawa jika flotila ini dihalang oleh Israel, mereka akan kembali dan mencuba sekali lagi.

Namun seperti yang dijangkakan, baru-baru ini dilaporkan bahawa tentera laut Israel telah menahan lebih daripada 450 aktivis, termasuklah Greta Thunberg, ketika kapal GSF cuba memecahkan pengepungan Israel terhadap Gaza.

Operasi itu berlaku kira-kira 70 batu nautika dari Gaza, di mana kebanyakan kapal GSF telah dipintas oleh Istael di perairan antarabangsa.

Dan ironinya, sebahagian daripada nama-nama besar yang menyertai GSF ini telah ditahan secara tidak sah oleh pihak Israel semalam di perairan antarabangsa. Perkara ini jelas mencerminkan betapa kerasnya sekatan yang dikenakan ke atas Gaza sehingga usaha kemanusiaan ini pun dilayan seolah-olah ianya satu ancaman bagi Israel.

Apa yang berlaku kepada flotila ini membuktikan bahawa perjuangan Palestin bukan sahaja tentang menghantar bantuan kemanusiaan, tetapi juga menuntut keadilan dan hak asasi rakyat Gaza yang telah lama ditindas oleh Israel. Selagi sekatan ini berterusan, selagi itulah solidariti dari seluruh rakyat akan terus bergema dengan membawa mesej bahawa Palestin tidak pernah bersendirian.

Sumber: The Business Standard, Euro News, Jahan Banou

Sumber: RTE
Sumber: CNN
Sumber: RTVE
Sumber: Forbes

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.