Kisah sayu ini terjadi kepada seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan yang terpaksa menjadi gelandangan sementara tibanya tarikh pembedahan memasukkan perentak jantung hujung tahun ini.
Kepayahan dan kesusahan beliau itu dirahsiakan daripada keluarga atas alasan tidak mahu mereka bimbang dengan keadaannya kesihatannya sepanjang beliau berada di ibu kota.
Tidur Di Kaki Lima Beralaskan Kotak
Menurut Utusan, apa yang lebih memilukan, hanya berbekalkan sebuah beg berisi pakaian, bekas pemain pertahanan yang turut pernah mewakili beberapa pasukan negeri itu ditemukan sedang menyusun kotak untuk dijadikan alas sebelum melelapkan mata di sekitar Jalan Hang Lekiu di ibu negara.
Tiada siapa yang akan menyangka seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan dalam era 90-an yang dahulunya lincah beraksi di padang dan popular di hati ribuan peminat bola sepak tanah air kini merempat di kaki lima.
Penyakit Bertambah Kronik Sejak Tiga Tahun Lalu
Kisah duka kehidupan bekas pemain posisi pertahanan berusia lewat 40-an itu bermula selepas dia disahkan menghidap penyakit jantung sekitar 2009 sebelum dimaklumkan penyakitnya bertambah kronik sejak tiga tahun lalu.
Menurut anak kelahiran Pulau Pinang itu, penyakit tersebut menjadi kekangan kepadanya untuk mencari rezeki.
Malah beliau mengakui pernah menjadi buruh selama setahun namun tidak dapat bertahan atas faktor kesihatan.
“Simpanan semakin berkurangan, sebab itu lebih lapan bulan saya menjalani hidup sebegini setiap kali datang ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), saya tidak mampu menyewa hotel maka terpaksa tidur di kaki lima ini.
“Saya bukanlah penghuni tetap di kaki lima memandangkan saya cuma berehat dan tidur dalam tempoh tertentu sahaja (beberapa minggu dalam sebulan). Sejurus selesai sesi rawatan, saya akan pulang ke kampung, apapun inilah nasib saya sekarang,”
Ujarnya, dia akan meneruskan kehidupan sebagai ‘gelandangan sementara’ di kawasan itu hingga tiba tarikh pembedahan memasukkan perentak jantung (pacemaker) di dadanya hujung tahun ini.
“Alhamdulillah, sepanjang saya di sini, saya masih mampu menguruskan diri dengan baik termasuk menggunakan kemudahan awam seperti surau dan masjid untuk membersihkan diri (mandi) serta bersolat.
“Setiap hari, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan akan datang menyumbangkan makanan, minuman, pakaian serta wang tunai termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri”.
Lebih hiba, ketika ditanya soal keluarga, lelaki itu mengakui sudah bercerai dan memiliki tiga anak yang sedang belajar, termasuk seorang daripadanya sedang menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Buat masa ini saya tinggal di rumah kakak di kampung, ketiga-tiga anak saya tidak tahu saya hidup begini, saya tidak mahu mereka tahu kesusahan saya, takut mereka susah hati pula,” katanya sebak.
Benarlah orang kata hidup ini umpama roda kadang diatas kadang dibawah, semalam kita disanjung mungkin hari ini kita merempat, kebahagiaan yang dikecapi hanyalah bersifat sementara.
Life must go on guys!
Baca : Mudahnya Cari Pahala! Lelaki Mandikan Gelandangan Tepi Jalan Dipuji