Semenjak dua menjak ini hangat diperkatakan desas-desus percintaan Dato’ Vida dengan pembantu peribadinya yang berusia 23 tahun, Ahmad Iqbal Zulkefli.
Jika sebelum ini Dato’ Vida pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia sedang mengenali hati budi lelaki yang berwajah persis David Beckham, kali ini tak semena-mena timbul pula berita mengenai percintaannya dengan Iqbal.
Menurut The Star, Iqbal juga turut mengakui bahawa dia kini sedang dilamun cinta dengan jutawan kosmetik Qu Puteh tersebut. Wah biar betul ni?
“Saya suka dan selesa bersama beliau. Bagaimanapun, saya tidak berani untuk mengatakan soal berkaitan jodoh kerana ia adalah ketentuan Allah,” ujarnya kepada Kosmo!
Malah lelaki kacak yang beza dua kali ganda usianya dari Dato’ Vida ini juga mengakui dia sudah bersedia untuk menjadi seorang suami dan telah pun mendapat restu dari ibunya, Maznuni Che Yusof.
“Saya bersedia menjadi suaminya kalau ada jodoh, namun saya juga bersedia andai dia dijodohkan dengan lelaki lain yang lebih layak dengannya. Saya tidak mahu orang fikir saya ingin mendampinginya disebabkan harta,” tambahnya lagi.
Walau bagaimanapun, Cik B iaitu anak kepada Dato’ Vida dalam kenyataannya di laman Instagram memberitahu, dia tidak akan sekali-kali membenarkan ibunya didekati Ahmad Iqbal atau mana-mana lelaki kerana mereka hanya mahukan perhatian dan tidak mencintai Dato’ Vida seadanya. Mesti Cik B takut mereka cintakan wang dari ibu Cik B kan??
Sungguhpun begitu, Dato’ Vida yang kini sedang mengerjakan umrah berkata, dia tidak mahu membuat keputusan terburu-buru kerana masih trauma dengan penceraian terdahulu. Malah dia juga ingin menjaga hati pelbagai pihak termasuk anak-anaknya selain dari mengutamakan kehendak sendiri. Hmm betul juga tu!
“Saya sendiri tak tahu nak pilih macam mana sebagai pasangan hidup. Lelaki-lelaki yang saya kahwin sebelum ini semuanya baik tapi bila masuk bab wang ringgit, mereka boleh berubah.
“Biarlah saya berdoa agar Allah beri petunjuk, siapakah calon suami saya yang benar-benar ikhlas menerima saya,” katanya yang bakal pulang ke tanah air pada 24 Oktober ini, lapor Utusan Online.
Terdahulu Dato’ Vida atau nama penuhnya, Hazmiza Othman pernah mendirikan rumah tangga bersama Fairuz Ahmad Zainuddin, 39, pada Januari 2014. Mereka telah disahkan bercerai pada April lalu dan ianya merupakan perkahwinan ketiga Dato’ Vida.
Doa yang baik-baik sajalah. Semoga Cik B dan Kacak dikurniakan ayah tiri yang baik dan bertanggungjawab. Amin…
Baca: “Ayah boleh menjadi suami yang baik.” – Rani Kulup Luah Hasrat Mahu Memperisterikan Dato’ Vida