Drama bersiri Lelaki Itu menjadi fenomena selepas ditayangkan pada bulan Mac sehingga April lalu, drama bersiri 30 episod itu membuatkan ramai yang kagum dengan watak Sharifah Qaidah yang dibawa boleh Che Puan Sarimah Ibrahim.
Dalam laporan Harian Metro, Sarimah berkata statusnya sebagai isteri kepada kerabat diraja bukan ‘tiket’ untuk dirinya tidak lagi aktif sebagai wanita berkerjaya dalam bidang seni.
Artikel berkaitan: “Dia suruh pakai baju seksi” – Sarimah Ibrahim Kongsi Pengalaman Kena Gangguan Seksual
Artikel berkaitan: Sarimah Kongsi ‘Rahsia’ Kekal Awet Muda Walaupun Dah Berusia 42 Tahun
View this post on Instagram
Beliau yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu berkata, sebelum ini beliau sudah terbiasa bekerja dan berdikari mencari kewangan sendiri kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada ibu bapa.
“Walaupun saya anak perempuan tunggal dalam keluarga yang mempunyai tiga adik lelaki, namun sebagai kakak yang sulung, sudah pasti saya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada adik-beradik lain, terutama perlunya berdikari sendiri.
Malah, apabila saya bertemu jodoh dengan suami yang juga kerabat diraja, masih tiada apa yang berubah dalam karier kerana saya sendiri memang suka bekerja dan tidak boleh duduk diam saja walaupun suami saya mampu menanggung segalanya.
Apatah lagi, bagi saya antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai isteri serta ibu itu perlu dipisahkan sebaiknya. Jadi, apa-apa yang saya buat untuk kerjaya adalah tanggungan sendiri,” katanya.
Sarimah yang bernikah dengan Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar berkata cukuplah suaminya itu menjadi ketua keluarga dan menyara keperluan keluarga kecil mereka.
Hasil daripada berlakon dilaburkan semula untuk memenuhi keinginannya seperti membeli rumah sendiri, serta menyertai kelas lakonan bersama tenaga pengajar dari luar negara, Gerry Grennell.
“Saya bayar Gerry dengan wang dikumpul sendiri. Begitu juga apabila mahu beli hadiah hari jadi untuk suami contohnya, saya tak akan beli guna duit daripada suami dan kemudian hadiahkan kepadanya semula. Saya lebih rasa puas hati dengan membeli guna wang sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata dirinya sangat gembira dan bersyukur kerana suaminya sangat memahami serta menyokong apa saja yang mahu dilakukannya asalkan tahu menjaga batas pergaulan dalam bekerja.
Sebagai info, Sarimah bertemu jodoh dengan suaminya, Tunku Nadzimuddin iaitu cucunda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-10 pada 2 April 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Tunku Sofia Najihah.
Sumber: Harian Metro