Sudah menjadi kebiasaan kanak-kanak teruja bermain mercun menjelang Syawal ini, namun malang tidak berbau dua budak lelaki baru-baru ini dilaporkan cedera parah selepas terkena letupan mercun yang dimain mereka.
Menurut Astro AWANI, datuk kepada dua beradik yang cedera parah di Kampung Baru, Kuala Nerang ini hampir saja pitam sebaik melihat cucu kesayangannya dalam keadaan tangan hancur dan pipi terbelah.
Artikel berkaitan: Kereta Terbalik Gara-gara Budak Lempar Mercun Ke Dalam Lubang Kumbahan
Artikel berkaitan: Individu Main Mercun Sampai Pukul 5 Pagi, Polis Terpaksa Turun Padang
Datuk sebak cerita semula kejadian
Mohd Noor Abdullah, 60 yang mengalirkan air mata ketika menceritakan kejadian itu berkata, kedua-dua cucunya, Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz, 7, dan Muhammad Aiman Naufal, 4, kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 8.15 malam kelmarin, Muhammad Zharif Daniel mengalami kecederaan parah dengan tangan kiri hancur hingga ke pergelangan tangan dan bawah pipi kanannya terkoyak.
Dia menyedari kejadian itu selepas mendengar bunyi letupan yang kuat. Sebaik keluar dari rumah, Mohd Noor terkejut melihat Zharif dalam keadaan berlumuran darah kira-kira 10 meter dari rumah.
Keadaan dia sangat teruk yang mana tangan sebelah kiri hancur hingga pergelangan tangan, manakala bahagian bawah pipi sebelah kanan terkoyak.
“Saya hampir pengsan tetapi saya kuatkan semangat dan mengambil sehelai baju untuk membalut tangan cucu.
“Dia meraung sambil memberitahu sakit dan pedih. Adiknya, Muhammad Aiman turut cedera dan dia juga menangis.
“Kami kemudian segera menghantar mereka ke Hospital Kuala Nerang sebelum dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurut datuk kepada dua beradik itu lagi, dia dan ahli keluarga lain tak tahu jenis mercun apa sebenarnya yang mengakibatkan dua beradik itu cedera.
Dalam pada itu, Mohd Noor menjumpai cebisan daging dan kesan darah cucunya pada dinding rumah selain saki-baki mercun yang dipercayai jenis telur naga.
Dia juga menjumpai serpihan botol air mineral yang dipercayai digunakan mangsa untuk masukkan sejumlah mercun sebelum ia meletup kuat.
Sama-samalah kita doakan semoga dua beradik ini cepat sembuh dan dapat keluar hospital sebelum raya nanti.
Sumber: Astro AWANI