Pengacara Uyaina Arshad menyatakan bahawa dia tidak ambil pusing dengan tindakan segelintir netizen yang mengecam dirinya berikutan dengan satu hantaran terhadap isu gangguan seksual terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.
Tegasnya, dia tidak peduli jika dirinya dicemuh atau dikritik kerana sudah lali dengan semua itu. Bahkan, dia akan terus mendidik masyarakat mengenai isu tersebut, lebih-lebih lagi lepas isu Abang Bas tular.
Artikel berkaitan : Uyaina Arshad Kongsi Kisah Gadis Tak Ada ‘Common Sense’, Pulang Baju Pinjam Dengan ‘Aksesori Tambahan’
Artikel berkaitan : Komen Tentang Kemerdekaan Malaysia, Uyaina Arshad ‘Sekolahkan’ Netizen Indonesia
“Saya rasa ini adalah cabaran untuk beri pendidikan kepada masyarakat. Bukan nak kata sebab saya ada latar belakang dalam bidang undang-undang.”
“Benda ini tak perlu menjadi seorang peguam pun untuk cakap atau suarakan. Benda ini hanya perlu pakai otak. Itu sahaja. Lagipun isu ini sudah ada fakta. Apa yang Abang Bas lakukan itu adalah salah menurut akta. Jadi siapa saya untuk cakap sesuka hati sahaja?”
Mengenai tindakan netizen yang sanggup membuat kutipan derma untuk membayar ikat jamin Abang Bas, Uyaina berpendapat bahawa setiap individu berhak mendapat pembelaan.
“Ini adalah hak undang-undang untuk semua orang. Tak kiralah siapa. Alhamdulillah, ada peguam yang secara sukarela ambil kes tersebut, ada yang nak membela dia.”
“Itu adalah hak asasi semua orang. Semua orang harus diberi peluang untuk membela diri sendiri. Saya pun tak pernah jatuhkan hukuman kepada Abang Bas.”
“Itu adalah tugas mahkamah. Saya di sini adalah untuk menyebarkan kesedaran.”
Uyaina juga tidak berkecil hati bila ada individu yang menggelarnya sebagai ‘terpaling’ dalam semua perkara. Katanya, ia sudah menjadi lumrah bagi kehidupan seorang selebriti dan perkara itu sedikit pun tidak menggugat dirinya daripada terus mengeluarkan pendapat.
“Saya cakap berdasarkan fakta. Nak cakap saya ‘terpaling’ pun terpulang. Saya hanya mampu sebarkan kesedaran sahaja.”
Untuk rekod, Abang Bas telah didakwa di Mahkamah Muar, Johor atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan namun dibebaskan pada Rabu lalu dengan bayaran jaminan sebanyak RM 40,000.
Disebabkan itu, keluarga pemuda yang bekerja sebagai pemandu bas sekolah itu dikatakan mahu ambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa mengundang syak wasangka serta kecaman terhadap mereka sebelum ini.
Sumber : mStar Online