Baru-baru ini, tular sebuah video tentang seorang pelajar Malaysia di United Kingdom berikutan jemputan ‘afterparty‘ yang telah menjadi bualan hangat netizen.
Tampil mengulas tentang video yang sama, seorang lagi pelajar yang sedang mengikuti pengajian Master di University of Oxford turut berkongsi pengalamannya menerusi sebuah video di TikTok dan dikongsi semula di X mengenai bar dan pub di UK.
Jelasnya, bar dan pub di sana bukan semata-mata dihadiri oleh golongan yang ingin bersuka ria dan minum arak sahaja tetapi juga turut menjadi lokasi untuk bersosial dan dijadikan tempat untuk berbincang perkara ilmiah.
“Di sini, bar bukan hanya untuk berparti atau meminum arak, tetapi ia juga lokasi untuk bersosial selepas menghadiri forum akademik” – Amalina
Menurutnya lagi, dia pernah pergi ke bar dan bertemu dengan ramai pensyarah dan profesor yang hebat di sana bagi membincangkan pelbagai topik seperti polisi umum, perubahan tingkahlaku serta banyak lagi.
Jadi menurutnya, keputusan untuk seseorang pergi ke bar itu adalah bergantung kepada diri sendiri.
Namun, sesetengah netizen berasa kurang senang dengan perkongsian tersebut dan berpendapat bahawa dia tidak sepatutnya berada di tempat yang menyediakan arak sebagai minuman.
Dek kerana itu, Amalina mempersoalkan pula tentang hukum seseorang yang menginap di hotel yang turut menyediakan arak kepada tetamu mereka di Malaysia.
Perkongsian yang tular berkenaan turut mendapat perhatian bekas Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan membalas ciapan Amalina untuk memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.
Menurut pandangan Dr.Zul, pelajar tersebut mempunyai sedikit salah faham mengenai hidangan arak di hotel dan apa perbezaannya dengan premis seperti bar dan pub.
“Ada dua bentuk pengharaman iaitu muharramat al-wasa’il (perkara yang dihukum haram kerana ia menjadi wasilah kepada perkara haram), dan muharramat al-maqasid (perkara yang haram pada zatnya). Muharramat al-wasa’il boleh jadi harus, atau makruh mengikut situasi. Muharramat al-maqasid adalah haram.” – Dr.Zul
Dr. Zul menjelaskan bahawa hotel merupakan sebuah tempat penginapan yang mana ia jelas berbeza dengan pub dan bar kerana ia sememangnya tempat minum arak.
Bezanya di sini, seorang muslim menginap di hotel kerana ada urusan dan keperluan. Tidak ada antara mereka yang menginap di hotel semata-mata untuk meminum arak dan arak pula memang kebiasaannya ada di sediakan di bar yang khusus, berasingan daripada tempat minuman panas dan sejuk lain.
Artikel berkaitan : “Beri hadiah dengan niat…” – Dr Zul Terangkan Hukum Beri ‘Gift’ Kepada ‘NPC’ Di TikTok
Artikel berkaitan : Sertai Acara Maraton Dari Syarikat Yang Berasaskan Riba, Dr Zulkifli Beri Penjelasan
Situasi ini menurut Dr. Zul lagi adalah sama dengan menaiki kapal terbang. Tidak ada Muslim yang menaiki kapal terbang semata-mata untuk meminum arak. Semuanya ada urusan dan keperluan tertentu.
Di sini, hotel dan kapal terbang dikategorikan sebagai muharramat al-wasa’il iaitu harus hukumnya manakala bar dan pun pula adalah muharramat al-maqasid kerana menghidangkan arak dan melibatkan aktiviti yang tidak selari dengan adab seorang Muslim.
Dalam masa yang sama, Dr. Zul sempat menitip nasihat kepada mereka yang keluar negara agar menjaga prinsip dan jati diri. Menurutnya, tidak ada kerugian jika seorang Muslim memilih untuk tidak ke tempat sebegitu (bar & pub).
Tambahnya lagi, ada banyak lagi tempat-tempat lain yang boleh dipilih untuk berhibur mahupun bersosial bersama-sama rakan bukan muslim.
Sumber : X | Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri