“Satu-satunya orang di Buri Ram. Nenek Somwang Jukul terima dua dos suntikan vaksin AstraZeneca dalam satu hari.”
Begitulah yang dikongsikan seorang lelaki di laman sosial Facebook selepas seorang wanita warga emas di Thailand dilaporkan secara tidak sengaja telah menerima dua dos suntikan vaksin AstraZeneca pada hari yang sama.
Memetik laporan Bangkok Post, Somwang Jukul, 70, difahamkan telah menerima janji temu bagi mendapatkan suntikan vaksin dos kedua pada 14 Ogos lalu di sebuah pusat pemberian vaksin di daerah Muang.
Ketika ditemu bual, Somwang memberitahu dia hadir ke pusat pemberian vaksin itu bersama suami, anak lelaki dan seorang saudaranya. Selepas selesai proses dokumentasi, pengambilan suhu dan memeriksa tekanan darah, Somwang difahamkan telah berpisah dengan kumpulannya untuk menerima suntikan vaksin dos kedua seperti yang dijadualkan.
Satu kanan, satu kiri
Menurut Somwang, dia menerima suntikan vaksin dos kedua di bahagian kanan lengannya. Namun begitu, dia sekali lagi disuntik di bahagian lengan kiri selepas dipanggil seorang jururawat lain di meja sebelah sejurus meninggalkan meja suntikannya.
Jelas Somwang, dia tidak membantah suntikan terbabit kerana tidak menyedari ada kesalahan meskipun jururawat tidak menanyakan sama ada dua sudah menerima suntikan seperti dijadualkan atau tidak.
Selepas selesai, Somwang bertemu semula dengan anaknya dan memberitahu lelaki itu bahawa dia menerima dua kali suntikan. Kes terbabit bagaimanapun tidak dilaporkan terus kepada pegawai perubatan bertugas kerana anak Somwang tidak perasan ada apa-apa simptom luar biasa pada ibunya.
“Dia (Somwang) hanya alami demam, kepenatan dan pening kepala selepas menerima suntikan. Tapi, dia mengaku dia risau,” jelas peguam yang mewakili keluarga terbabit.
Terang sumber lagi, anak Somwang tidak bercadang untuk memfailkan aduan susulan insiden itu. Walaupun risau, Somwang dilaporkan tidak mengalami apa-apa kesan sampingan. Malah, pihak berkuasa tempatan juga selalu menelefon keluarga itu untuk memeriksa keadaan Somwang.
Tak pergi ke zon pemerhatian
Dalam pada itu, Timbalan Kesihatan Buri Ram, Dr Jeerasak Thipsunthornchai berkata, punca insiden terbabit dipercayai berpunca daripada salah faham selepas Somwang dilaporkan tidak pergi ke zon pemerhatian selepas menerima suntikan di Stadium Chang Arena, Muang.
“Dia (Somwang) tidak tahu dia sepatutnya hanya menerima satu suntikan saja pada hari itu. Semasa berjalan di zon vaksinasi, seorang pekerja kesihatan bercakap dengannya dan salah faham yang berlaku menyebabkan Somwang disuntik sekali lagi pada hari sama,” jelasnya.
Difahamkan, ketika Somwang menerima suntikan di institut tersebut, pekerja kesihatan di situ sedikit terbeban dengan kehadiran lebih 6,000 penerima vaksin.
Walaupun Somwang tidak mempunyai apa-apa simptom asing, Dr Thipsunthornchai tetap meminta doktor di daerah Nang Rong untuk terus memantau keadaan Somwang dan bersedia untuk membantunya pada bila-bila masa.
Dalam pada itu, Dr Thipsunthornchai juga berjanji akan meningkatkan prosedur inokulasi di lokasi itu untuk mengelakkan salah faham seperti itu berlaku lagi di masa akan datang.
Sumber: Bangkok Post