Bagi kebanyakan orang, kematian mungkin merupakan satu topik sensitif sehinggakan ada orang yang akan terus mengelak bila apa-apa saja yang berkaitan isu ini keluar.
Disebabkan itu, dalam usaha untuk menormalisasikan topik kematian, seorang sami Buddha di Thailand baru-baru ini menjadi bualan media di sana selepas dia menganjurkan majlis pengebumian diri dia sendiri. Siap jemput orang kampung lagi datang tau!
Portal Thaiger melaporkan, majlis pengebumian olok-olok yang diadakan di Kuil Pothiyan itu mengikut adat penganut Buddha di Thailand. Difahamkan, sebuah keranda yang diisi dengan mayat palsu yang diperbuat daripada daun pisang turut dibakar di dalam tempat pembakar mayat bagi menjayakan majlis pengebumian terbabit.
Tidak cukup dengan itu, seramai 55 sami Buddha lain turut menyertai majlis terbabit sambil membacakan doa ketika keranda berserta mayat palsu diturunkan untuk dibakar.
Orang ramai yang menghadiri majlis pengebumian itu juga berpakaian hitam sambil memegang papan tanda yang tertulis nama sami berkenaan, Sunthorn Rojanakhun.
Kalau korang nak tahu, papan tanda tu ada tertulis tarikh lahir sami iaitu 23 Oktober 1968 dan tarikh bila dia dijangka akan menemui ajal iaitu pada tanggal 23 Oktober 2048 (sami itu dijangkakan akan meninggal dunia pada usia 80 tahun).
Jelas Rojanakhun, walaupun dia sekarang sihat sahaja, dia berharap majlis pengebumian dirinya itu akan menghantar mesej kepada penduduk kampung bahawa kematian adalah perkara biasa.
“Disebabkan saya dah buat majlis pengebumian saya sekarang, nanti bila saya sudah tiada, tak perlu lagilah nak buat majlis ni,” katanya.
Penduduk tempatan yang menghadiri majlis pengebumian terbabit difahamkan diberi hadiah beras seberat 5 kilogram. Malah, ada juga daripada mereka yang bercadang mahu membeli tiket loteri menggunakan nombor sama tarikh kelahiran sami berkenaan.
Sumber: Thaiger
Baca: Atok 102 Tahun Ini Sanggup Tinggal Di Kubur Sebab Nak Tebus Dosa Masa Lalu