Perih untuk dilalui oleh seorang guru apabila dapat berita mengenai pelajarnya sendiri yang terkorban ketika dalam perjalanan menuntut ilmu.
Paling menyedihkan, apabila pengangkutan yang digunakan setiap hari ke sekolah tanpa diduga menjadi sebab nyawa terkorban.
Semalam, mayat terakhir mangsa bot karam Sungai Kayan, di Kuching, Sarawak telah ditemukan setelah usaha mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak Selasa lepas. Mayat Alasma Jihtil, 14 tahun, ditemukan terapung kira-kira 100 meter dari tempat kejadian berdekatan kampung selampit. Tragedi yang berlaku pada jam 6.10 pagi, 20 Ogos lalu itu, turut meragut nyawa dua lagi pelajar, Vilkie Wilson, 15 tahun dan Helena Fasha Petrus, 17 tahun. Manakala, 17 yang lain berjaya diselamatkan.
Artikel berkaitan : “Berat dugaan” – Bot Karam Pula Masa Bawak Mangsa Banjir, Siap Ada Anak Kecil Lagi!
Artikel berkaitan : Tunggu Pesanan Nasi Kandar, 2 Cedera Dalam Nahas Bot Karam Di Pulau Pinang
Susulan kejadian itu, seorang guru, Shasha Denzlin yang merupakan guru tingkatan kepada mangsa, Vilkie Wilson, bekas guru tingkatan Helena, dan guru pembimbing Alasma, telah menitipkan rasa pilu melalui sebuah hantaran yang dimuat naik di Facebook.
Dalam hantaran yang menyentuh hati itu, Cikgu Shasha menyifatkan peribadi ketiga-tiga pelajarnya itu sangat rajin, bijak, aktif di sekolah sehingga banyak kenangan mereka bersama.
“My sweet Helena, cikgu sangat terkesan sebab kamu sangat manja dan rajin buat kerja sekolah. Kemudian pelajar yang bijak dan rajin, Alasma. Budak atlet Draco dan choral speaking saya.”
Sebagai guru pembimbing, Cikgu Shasha juga terkilan kerana meskipun pelajar itu tinggal di kawasan pendalaman, mereka ada potensi yang sangat tinggi dan berazam untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi.
“Ada sahaja celotehnya, sempat lagi semasa saya sempat menghantarnya pulang ke rumah, dia kata mahu sambung belajar ke peringkat lebih tinggi seperti abang dan kakak. Dia mahu memasuki sekolah sains (sekolah berasrama penuh) mungkin di tingkatan empat nanti”
Dalam hantaran itu juga, Cikgu Shasha berkongsi rasa hiba rakan-rakan sekelas Vilkie yang terasa kehilangannya.
“Ketua tingkatan tanya, “Cikgu, nama Vilkie kita nak letak tidak hadir atau macam mana?” kemudian, sekelas menitiskan air mata. Kata-kata tidak mampu meluahkan segalanya. Rest well, angels”
Bot karam itu dinaiki seramai 19 orang penumpang, dikatakan tiba-tiba karam di tengah sungai dalam keadaan air pasang, manakala jarak di antara Kampung Selampit dengan jeti di seberangnya adalah kira-kira 80 meter.
Menurut pihak berkuasa tempatan, punca kejadian adalah disebabkan oleh lebih muatan.
Semoga cikgu dan rakan-rakan bertabah dengan kehilangan ni.
Sumber : Facebook