Artis-artis yang mempunyai nama besar kebanyakannya sekarang memilih untuk mendiamkan diri mengenai serangan yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin sekarang ini ekoran takut merosakkan periuk nasi mereka.
Tapi bagi rapper terkenal ini lain pula, Macklemore baru-baru ini telah mengejutkan orang ramai dengan mengeluarkan lagu memuji pelajar-pelajar kolej di seluruh Amerika Syarikat (US) yang kini sedang giat membuat protes terhadap perang Israel ke atas Gaza.
Tak cukup dengan itu, dalam lagu tersebut juga penyanyi ini mengatakan yang dia tak akan mengundi Presiden Joe Biden pada pilihanraya yang bakal diadakan November nanti.
Lagu yang dikeluarkan pada Isnin lalu itu diberikan tajuk Hind’s Hall, ia merupakan nama sementara yang diberikan kepada satu bangunan di kampus Universiti Colombia.
Untuk pengetahuan korang, rapper yang pernah memenangi anugerah Grammy ini merupakan salah seorang pemuzik besar pertama yang telah mengutuk secara terbuka mengenai bantuan kerajaan US kepada Israel. Serta, memuji keberanian pelajar yang melakukan protes ke atas pelaburan universiti mereka terhadap syarikat yang berkait dengan Israel di kampus-kampus seluruh US.
Jadi dekat bawah ni, jom kita tengok apa yang diperkatakan oleh Macklemore dalam lagu terbarunya itu.
Artikel berkaitan: Tempat Perlindungan Terakhir Rakyat Palestin Diserang Israel, Ini Apa Korang Perlu Tahu Tentang Rafah Sekarang
Artikel berkaitan: Krisis UNRWA: Banyak Negara Umum Henti Beri Dana Pada Agensi Bantuan Untuk Palestin, Semua Gara-Gara…
“Masalahnya bukan protes tersebut tapi apa yang mereka bantahkan”
Antara lirik lagu di dalam Hind’s Hall menyebut “The problem isn’t the protests, it’s what they’re protesting.”
Macklemore telah mengulang kembali sentimen yang disebutkan oleh kumpulan bantahan pro-Palestin yang mengatakan mereka enggan mengundi Biden bagi pilihanraya memilih presiden tahun ini ekoran sokongan berterusan yang diberikan ke atas Israel.
Malah, Parti Demokrat sendiri mengatakan yang mereka risau bakal kehilangan sokongan anak-anak muda yang kecewa dengan cara Biden menguruskan peperangan tersebut dan dia mungkin akan kalah dan bekas Presiden Donald Trump akan kembali memegang jawatan tersebut.
Lagu ini juga turut mengkritik polis yang telah dihantar ke beberapa universiti untuk menggagalkan protes yang dijalankan di kampus-kampus US. Beberapa universiti telah memanggil polis untuk masuk campur dan mengatakan protes tersebut adalah salah di sisi undang-undang dan pihak universiti mengatakan mereka telah pun cuba untuk berunding dengan pelajar yang terlibat sebelum memanggil polis.
Pelajar-pelajar yang enggan berganjak di Universiti California, Los Angeles turut ditembak oleh polis dengan peluru getah manakala di Univerisiti Arizona, pihak polis telah menggunakan bom pemedih mata dan peluru getah ke atas pelajar yang melakukan protes.
Di seluruh US, kumpulan bantahan pro-Palestin telah membuat protes di hadapan bangunan-bangunan kampus meminta agar pihak universiti menghentikan pelaburan ke atas syarikat-syarikat Israel. Beberapa kumpulan ini telah diserbu oleh polis menyebabkan seramai 2,300 tangkapan telah dibuat di beberapa universiti di negara tersebut.
Beberapa pelajar yang ditahan tersebut telah diban dari kampus dan bakal dibuang.
Signifikasi tajuk lagu ‘Hind’s Hall’
Hind’s Hall merupakan nama yang diberikan oleh kumpulan pembantah pro-Palestin kepada Columbia’s Hamilton Hall. Ia dinamakan sempena nama kanak-kanak Palestin Hind Rajab yang ditemui meninggal di Gaza selepas terperangkap di dalam kereta bersama enam saudaranya.
Ketika itu mereka telah cuba melarikan diri dari Gaza utara menggunakan kereta sebelum dibom oleh Israel. Hind dan semua orang di dalam kereta tersebut termasuk empat orang anak pakciknya telah dibunuh bersama dua ambulans yang cuba menyelamatkan mereka.
Lirik Macklemore juga turut merujuk kepada lebih 13,800 kanak-kanak yang telah dibunuh di Gaza sejak peperangan tersebut bermula. Lagu tersebut meminta agar pendengar termasuk ahli politik, pegawai universiti dan rakan artis yang tidak bercakap mengenai keganasan yang berlaku di Gaza ini untuk mengambil kira nyawa-nyawa yang tergadai kerana perang tersebut.
Macam mana kalau korang yang ada di Gaza? Macam mana kalau dorang (kanak-kanak) tu adalah anak-anak korang? Macam mana kalau Barat buat macam kau tak wujud?”
Macklemore sokong ‘free Palestine’
Dalam Hind’s Hall, Macklemore turut menuduh industri muzik sebagai bersubahat kerana memilih untuk berdiam diri.
Dia mungkin satu-satunya artis besar yang telah menulis lagu mengenai peperangan ini. Beberapa pemuzik terkenal sebelum ini telah menandatangani surat ‘Artist 4Ceasefire’ yang ditujukan kepada Biden termasuk Dua Lipa, Jon Batiste dan Selenna Gomez.
Penyanyi Scotland, Annie Lennox juga turut meminta gencatan senjata ketika membuat persembahan di Grammy Februari lalu.
Selain itu, Macklemore turut mengatakan bahawa apabila lagu ini dikeluarkan di platform penstriman, semua keuntungan akan disalurkan kepada UNRWA bagi Pelarian Palestin.
Untuk pengetahuan korang, Macklemore telah menjadi penyokong Palestin yang lantang sejak tahun lalu. Di mana, dalam salah satu posting di Instagram, rapper ini telah menyatakan pendiriannya.
Saya menyokong ‘Free Palestine’ dan pengakhiran kepada pembunuhan beramai-ramai ke atas orang-orangnya.”
Tambahnya lagi, dia boleh menghormati dan menyayangi rakan-rakan Yahudi yang lain sambil pada masa yang sama mengutuk kerajaan Israel atas pembunuhan yang dilakukan.
Macklemore juga turut mengikuti perarakan pro-Palestin di Washington pada November lalu.
Korang dah dengar ke belum lagu ni? Meremang!
Sumber: CNN