Belum sejuk lagi isu Awal Ashaari sekeluarga dikecam netizen gara-gara dikatakan menyambut Hari Krismas, netizen pula katanya telah mengecam Fasha Sandha kerana memakaikan anaknya kostum Santa Claus.
Menurut Kosmo, pelakon wanita tersebut yang juga isteri kepada aktor, Aidil Aziz telah memuat naik satu posting yang menunjukkan anak bongsunya, Aisha Amairah yang berusia 4 bulan memakai kostum Santa Claus.
Setelah mendapat kritikan hebat netizen, gambar tersebut telah dipadam daripada Instagram.
“Apa masalahnya anak saya pakai kostum tu? Just for fun”
Kesal kerana menerima kritikan daripada segelintir netizen berkaitan video anaknya itu, Fasha menyifatkan netizen telah berubah menjadi ustaz ustazah jadian hanya kerana dia memakaikan anaknya kostum berkenaan.
Semalam saya buat posting Aisha memakai baju cute Santa Claus, tiba-tiba ramai pula ustaz ustazah netizen masuk.
“Sudah tidak ada kerja agaknya. Ramainya ustaz ustazah jadian ini. Apa masalahnya anak saya pakai kostum tu? Just for fun (hanya untuk suka-suka),” katanya.
Tambahnya lagi, dia juga dituduh netizen menyambut perayaan Krismas hanya kerana video tersebut.
“Habis tu kalau pakai ceongsam dan sari salah juga ke? Haram ke?” katanya lagi.
Menurut Fasha, netizen tidak seharusnya menilai hati seseorang melalui pakaian yang dipakainya. Malah apa yang buat dia tidak puas hati ialah sikap netizen yang dilihat ada saja tak kena dengan apa yang dilakukan oleh golongan artis.
“Tidak habis-habis nak kecam orang. Orang melamar secara terbuka nak kecam, orang ‘sweet sweet’ buat video YouTube nak kecam, semua benda nak dikecam.
“Kalau tidak suka boleh ‘unfollow’, tidak habis-habis nak kecam artis. Tidak suka tak payah tengok,” katanya yang juga memberitahu status ini akan dipadam kemudian.