Kejadian yang berlaku di Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman, Terengganu Sabtu lalu telah dianggap sebagai fenomena kepala air paling dahsyat pernah berlaku di negara ini. Dikatakan arus air yang deras boleh didengari oleh penduduk yang tinggal jauh dari lokasi.
Tambah menyedihkan, fenomena kepala air yang dianggarkan setinggi 5 sehingga 10 meter itu telah meragut sebanyak 9 nyawa dan seorang lagi masih belum ditemui.
Tak cukup dengan itu, mayat-mayat mangsa telah ditemui sejauh 25 kilometer dari tempat perkelahan dan kebanyakan yang ditemui terdampar di tebing sungai dan tersangkut pada pokok di darat.
Punca kejadian
Menurut Ahli Geologi, Dr Muhd Nur Ismail Abdul Rahman, punca utama fenomena ini berlaku adalah akibat gabungan air daripada dua sungai serta keadaan topografi di sana serta turut ditambah dengan faktor hujan lebat luar biasa yang berlaku di kawasan jeram atau tadahan air di hulu sungai.
Malah, kelebaran sungai di Jeram Air Putih pula dianggarkan hingga 3m, menyebabkan arus boleh mengalir lebih jauh. Ini kerana, hanya 100 liter air yang mampu ditampung sungai dengan kelebaran 2m, pada satu-satu masa.
“Selain itu, arus yang terbentuk akibat kepala air secara umumnya adalah antara dua hingga 10m sesaat, bergantung kepada pelbagai faktor yang mendorong kelajuan aliran air di lokasi kejadian.”
Insiden Kepala Air Berlaku Di Malaysia Dari 2021 – 2023
Fenomena kepala air ini bukanlah satu perkara yang asing, ia sering berlaku di negara ini dan telah pun meragut banyak nyawa. Jadi dekat bawah ni, adalah beberapa laporan tentang insiden kepala air yang pernah berlaku di Malaysia dari tahun 2021 sehingga Julai 2023.
18 Ogos 2021
Enam orang telah terbunuh manakala 800 rumah di Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda di Kedah telah rosak ekoran hujan lebat yang menyebabkan fenomena kepala air berlaku di kawasan Gunung Jerai.
16 Mei 2022
Pihak berkuasa telah menyelamatkan seramai 80 pelawat di air terjun Laman Tiga Budaya di Asahan, Melaka selepas mereka terperangkap ekoran fenomena kepala air.
4 Julai 2022
Tiga orang meninggal dunia termasuk seorang ibu mengandung berusia 23 tahun di dalam insiden kepala air yang berlaku di Baling, Kedah.
4 November 2022
Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan seramai sembilan pelajar Universiti Teknologi Mara di Lata Hulu Kekabu, Setiu di Terengganu.
28 November 2020
Seramai 10 orang ahli keluarga telah diselamatkan selepas terkandas di air terjun Sungai Pinang di Batang Kali, Selangor.
12 Februari 2023
Fenomena kepala air yang berlaku di Bukit Tinggi dan Janda Baik Pahang telah merosakkan sebanyak 15 premis perniagaan dan lima buah rumah.
21 Jun 2023
Dua wanita termasuk seorang warga China telah mati lemas selepas mereka dibawa arus kepala air ketika mandi di air terjun Kampung Orang Asli Perak di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Petanda awal kepala air
Fenomena kepala air ini selalunya berlaku tanpa disedari kerana walaupun cuaca di tempat bermandi nampak elok dan tiada tanda-tanda hujan, ada kemungkinan sedang berlaku hujan lebat di kawasan hulu sungai yang melibatkan limpahan air yang kuat secara tiba-tiba.
Jadi, kalau korang ada plan nak beriadah bersama keluarga di kawasan air terjun, korang boleh cuba perhatikan lima tanda-tanda awal kepala air ini supaya korang sempat berjaga-jaga.
1. Langit gelap di puncak bukit (hulu sungai)
2. Dengar bunyi guruh atau dentuman di langit
3. Dengar bunyi letupan kuat ataupun apa-apa bunyi kuat yang luar biasa
4. Berlaku perubahan warna air daripada jernih kepada gelap atau kehitaman
5. Paras air meningkat secara mendadak.
Sekiranya korang nampak petanda-petanda yang disenaraikan dekat atas ni, korang ada masa kurang dari 10 ke 15 minit untuk menyelamatkan diri.
Kalau boleh, elakkan mandi sungai atau air terjun masa cuaca tak menentu macam sekarang ok?
Sumber: Utusan, The Sun Daily, Berita Harian, Public Health Malaysia
Baca: UPDATE : Tragedi Kepala Air Jeram Mawar, 9 Maut Manakala 1 Masih Hilang