Dalam bulan Ramadan ini, perkara yang paling dinanti-nantikan oleh mereka yang berpuasa pastinyalah detik azan Maghrib berkumandang yang menandakan masuknya waktu berbuka puasa.
Namun pihak masjid kenalah pastikan waktu laungkan azan Maghrib itu adalah tepat pada waktunya kerana bimbang tak pasal-pasal pula terbatal puasa jemaah yang tinggal sekitar kawasan masjid itu.
Menurut mStar, pada Isnin lepas, pihak Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak, Batu Caves telah melakukan kesilapan dengan melaungkan azan 3 minit lebih awal daripada waktu sebenar.
Pihak pentadbir masjid itu kemudian telah mengeluarkan kenyataan rasmi memohon maaf atas kejadian yang berlaku.
https://www.facebook.com/AsalGombak/posts/1158661691315834
Nazir masjid berkenaan, Wan Nawawi berkata, kesilapan tersebut berpunca daripada masalah teknikal pada paparan digital waktu azan maghrib di masjid berkenaan.
Hal ini juga menyebabkan jemaah yang berpandukan azan tersebut untuk berbuka puasa telah terbatal puasa mereka pada hari terbabit.
“Assalamualaikum. Saya mewakili seluruh pentadbir Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak memohon maaf atas kesilapan kami melaungkan azan Maghrib tiga minit sebelum masuk waktu sebenar pada hari Isnin, 7 Ramadhan 1442 atau 19 April 2021 disebabkan oleh masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid.
Jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masjid Al-Khairiyah untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa tuan puan telah terbatal pada hari tersebut dan perlu diganti atau diqada.
“Begitulah pandangan jumhur ulama dalam kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama Hambali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqada.
“Sekali lagi kami mohon maaf dan InsyaAllah perkara sebegini tidak akan berlaku lagi,” katanya.
“Naya pak karim” – Netizen
Mujurlah walau bagaimanapun netizen dan jemaah yang berkaitan dengan isu tersebut tidak marah dan bercadang untuk menggantikan puasa bersama puasa sunat pada bulan Syawal nanti.
Apa-apapun pihak masjid juga dinasihatkan untuk memeriksa waktu azan Maghrib dengan lebih tepat selepas ini supaya perkara tersebut tidak berulang lagi. Naya jugalah nak kena ganti puasa banyak-banyak kalau tersilap lagi.
Baca: Mahu Bersenam Ketika Berpuasa? Ini Panduan Lengkap Untuk Anda