Pendakwah selebriti, PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias hari ini telah didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Ampang diatas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berumur 17 tahun.
Memetik laporan Kosmo, PU Azman mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa pada waktu tengah hari pada 22 Julai lalu dalam sebuah bilik di sebuah Resort di Hulu Langat.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memohon PU Azman tidak diikat jamin.
Bagaimanapun, peguam bela PU Azman, Mohamad Zahid Ahmad berkata, jaminan perlu diberikan kerana ia penting bagi tertuduh menyediakan pembelaan terbaik bagi kes tersebut.
“Pihak pembelaan percaya tidak ada alasan luar biasa mahkamah dengan budi bicaranya tidak membenarkan jaminan,” katanya.
Menurutnya, ia memandangkan tertuduh memberi kerjasama yang baik terhadap kes berkenaan serta mengikut prosiding dan syarat mahkamah ditetapkan sebelum ini.
Namun, Norhashimah berkata, jaminan tinggi perlu diberikan jika mahkamah membenarkannya bagi menunjukkan tahap keseriusan pertuduhan itu.
“Kita mahu memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah. Jaminan tinggi juga mengambil kira kes amang fizikal dan menarik perhatian umum.”
Hakim kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula bagi kes berkenaan ditetapkan pada 10 Februari tahun hadapan.
Sumber : Kosmo, Harian Metro, Sinar Harian
Baca : PU Azman Didakwa Lagi Atas 3 Pertuduhan Amang Seksual Terhadap Remaja Lelaki