Ketika ini, filem Sheriff: Narko Integriti arahan Syafiq Yusof menduduki carta teratas pawagam seluruh negara dengan meraih kutipan mencecah lebih RM60.5 juta sejak ditayangkan pada 19 April lalu.
Anak kepada pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam ini juga ada mengumumkan filem Sheriff bakal menembusi pawagam di negara jiran, Indonesia bermula 22 Mei ini.
Bukan itu sahaja, filem yang memaparkan kehidupan kepolisan ini turut melebarkan sayap ke Hong Kong bermula 6 Jun depan.
Artikel berkaitan: “Tak sangka wei!” – Ini 5 Filem Tempatan Yang ‘Laku Keras’ Di Luar Negara
Perkara itu dikongsikan oleh Syafiq sendiri menerusi satu hantaran di platform X. Difahamkan, filem terbabit berjaya menarik minat wakil dari syarikat pengedaran filem, Warner Bros di Hong Kong ketika diundang menyaksikan filem tersebut pada malam gala, 16 April lalu, lapor Scoop.
“Sewaktu tayangan malam gala Sheriff, kita memang ada mengundang wakil Warner Bros di Hong Kong untuk datang menyaksikan filem ini. Tidak sangka pula ia berjaya menarik minat mereka untuk menayangkan Sheriff di sana.
“Warner Bros di Hong Kong sudah mendapat kelulusan daripada ibu pejabat Warner Bros di Amerika Syarikat untuk menayangkan Sheriff.
“Namun, mereka meminta pihak kami untuk menukar tajuknya kepada Mass Killer ‘Sheriff’ tetapi bahasa asal filem ini masih lagi dikekalkan bersama sari kata dalam bahasa Inggeris serta Mandarin,” kata Penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam.
Dapat dilihat poster yang dikongsikan Syafiq diterjemahkan dalam bahasa Cina untuk menyesuaikan dengan pasaran di sana.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mengucapkan tahniah dan gembira melihat filem tanah air dapat menembusi pawagam luar negara. Dalam pada itu, netizen juga berharap filem ini turut mendapat sambutan luar biasa.
Alhamdulillah. Semoga terus maju filem tempatan kita!