Tujuh belas hari selepas pesawat kecil terhempas di dalam hutan hujan Amazon di Colombia, ramai yang masih tertanya-tanya dengan apa yang berlaku selepas terdapat laporan mengelirukan mengatakan bahawa empat kanak-kanak yang terlibat ditemui dalam keadaan selamat.
Adik-beradik ini merupakan Lesly Jacobombaire Mucuty yang berusia 13 tahun, Soleiny Jacobombaire Mucutuy, sembilan tahun, Tien Noriel Ronoque Mucutuy, empat tahun dan seorang bayi 11 bulan Cristin Neriman Ranoque Mucutuy. Kesemua mereka ini telah menaiki pesawat Cessna 206 sebelum ia terhempas pada 1 Mei lalu berdekatan wilayah Guaviare.
Ibu mereka Magdalena Mucutuy, juruterbang dan seorang lagi penumpang lain telah dilaporkan meninggal manakala empat kanak-kanak ini pula masih belum ditemui.
Pencarian besar-besaran ini masih dijalankan dan ini apa yang telah diketahui tentang kes pesawat Colombia terhempas setakat ini…
Kapal terbang terhempas
Magdalena Mucutuy telah menaiki pesawat bersama anak-anaknya untuk ke Bogotá bagi menemui suaminya Manuel Ranoque dan memulakan kehidupan baru mereka bersama.
Manuel Ranoque ini dikatakan mempunyai pertalian dengan ketua politik tempatan dan sebelum ini telah tinggal di rizab orang asli di Puerto Sábalo bersama keluarganya.
Namun begitu, Manuel terpaksa melarikan diri dengan berjalan kaki selepas dia menerima beberapa ugutan dari kumpulan penjenayah yang beroperasi di kawasan tersebut. Selepas meredah hutan, lelaki ini berjaya tiba di Bogotá.
Dia dilaporkan telah pun mendapat kerja di sana dan mengumpul duit selama sebulan setengah untuk menampung pengangkutan keluarganya dari tempat terpencil ke ibu kota Colombia.
Tapi impian untuk bersatu semula musnah selepas pesawat kecil yang dinaiki oleh isteri dan anak-anaknya ini telah terhempas. Pesawat tersebut sedang dalam perjalanan di antara Araracuara di wilayah Amazon dan San Jose del Guaviare apabila ia tiba-tiba hilang dari radar pada awal pagi 1 Mei lalu.
Pesawat ini telah dilaporkan hilang pada hari yang sama dan bangkainya hanya ditemui pada 15 Mei ekoran cuaca buruk yang telah melambatkan operasi pencarian.
Ibu Magdalena, Fátima mengatakan yang dia sendiri telah masuk ke dalam hutan itu bersama komuniti orang aslinya untuk mencari anaknya.
Saya tunggu mereka untuk pulangkan mayat anak saya. Dia dah tinggal lama sangat dalam hutan. Saya tunggu dia. Tuhan itu baik dan saya tahu anak-anaknya akan ditemui hidup.”
Klu tunjuk kanak-kanak masih hidup?
Pihak berkuasa penerbangan awam yang turut sama terlibat dalam misi pencarian ini percaya bahawa kesemua kanak-kanak ini telah berjaya keluar dari pesawat selepas terhempas dan masuk ke dalam hutan untuk mencari bantuan.
Usaha untuk mencari mereka kini makin digiatkan selepas pasukan mencari termasuk anjing pengesan menemui buah yang telah dimakan oleh kanak-kanak itu untuk meneruskan hidup dan tempat untuk berlindung yang diperbuat dari daun-daun hutan. Getah rambut, gunting kanak-kanak dan botol susu juga turut ditemui.
Pihak berkuasa mengatakan, usaha menyelamat ini telah melibatkan tiga helikopter termasuk satu yang memainkan rakaman mesej nenek mereka menggunakan bahasa Huitoto meminta agar mereka tidak bergerak di dalam hutan.
Kekeliruan mengenai keadaan kanak-kanak
Pada Rabu lepas, Presiden Columbia Petro Gustavo memuat naik ciapan mengatakan bahawa kanak-kanak ini telah pun ditemui selepas pencarian dibuat oleh 100 pegawai tentera, bomba dan pihak berkuasa penerbangan awam di dalam hutan tebal Amazon.
Selepas pencarian yang sukar oleh tentera kami, empat kanak-kanak yang hilang kerana nahas pesawat di Guaviare, telah selamat ditemui dan masih hidup. Kegembiraan untuk negara kita.”
He decidido borrar el trino debido a que la información entregada por el ICBF no ha podido ser confirmada. Lamento lo sucedido. Las Fuerzas Militares y las comunidades indígenas continuarán en su búsqueda incansable para darle al país la noticia que está esperando.
En este…
— Gustavo Petro (@petrogustavo) May 18, 2023
Bagaimanapun semalam, Petro telah memadamkan ciapannya itu dan membuat permohonan maaf.
Saya membuat keputusan untuk memadam ciapan sebelum ini kepada maklumat yang diterima tidak boleh disahkan. Saya minta maaf untuk kekeliruan ini.
“Tentera dan komuniti orang asli akan meneruskan pencarian mereka untuk memberikan berita yang ditunggu-tunggu. Buat masa sekarang, keutamaan diberikan kepada pencarian ini sehingga mereka ditemui. Nyawa kanak-kanak ini adalah perkara yang paling penting.”
Kerajaan ‘sangat yakin’ kanak-kanak ini akan ditemui tak lama lagi
Kerajaan di sana mengatakan mereka telah menerima maklumat mengatakan kanak-kanak ini telah ditemui dalam keadaan yang sihat. Bagaimanapun, kementerian pertahanan memberitahu media tempatan yang mereka masih belum mendapat maklumat mengenai penemuan tersebut.
Maklumat yang diterima mengatakan komunikasi telah pun dibuat kepada empat kanak-kanak itu. Laporan tersebut mengatakan yang mereka ditemui masih hidup dan dalam keadaan sihat.
“Bagaimanapun, pihak tentera masih lagi belum dapat menjejaki kanak-kanak ini ekoran cuaca yang buruk dan laluan yang agak sukar.”
Pengarah ICBF Astrid Cáceres memberitahu radio tempatan semalam bahawa kanak-kanak ini selamat tapi komunikasi menggunakan satelit dengan mereka terputus. Namun begitu, tiga pasukan telah pun dihantar ke tiga lokasi di mana kanak-kanak ini dikatakan berada dan beliau yakin mereka akan ditemui tak lama lagi.
Harapnya kesemua kanak-kanak ini dapat ditemui dalam keadaan selamat.
Sumber: Independent
Baca: Youtuber Sengaja Biar Pesawat Terhempas Demi Konten Bakal Dipenjara 20 Tahun