Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membangunkan protokol selamat untuk pengundi positif COVID-19 membuang undi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata menterinya Khairy Jamaluddin.
“Covid-19 akan kekal dalam komuniti, jika kita menafikan hak mereka (pengundi positif) untuk mengundi, kita menafikan hak perlembagaan,” katanya dalam sidang media.
Sebelum ini, pada hari pengundian pilihan raya negeri Johor pada 12 Mac lepas, seorang pengundi didenda RM1,000 kerana hadir mengundi walaupun berada di bawah kuarantin kerana jangkitan wabak tersebut.
Perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih teliti
Dalam laporan BERNAMA, Khairy berkata KKM dan SPR sedang memikirkan langkah terbaik untuk pengundi positif covid-19 menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara.
“Ada yang mencadangkan untuk biarkan mereka yang dijangkiti Covid-19 menggunakan undi pos tetapi bagaimana pula bagi mereka yang dijangkiti satu atau dua hari sebelum hari pengundian?
“Jika mereka ingin mengundi, siapa yang akan membawa mereka atau saluran mana yang hendak digunakan. Sekiranya kita ada saluran khas untuk pesakit Covid-19 atau tidak, jadi perkara ini memerlukan lebih masa,” katanya.
Khairy berkata kesihatan awam harus menjadi keutamaan penting apabila membincangkan berkenaan PRU15 dan tarikh ia akan diadakan.
“Kita perlu mencari masa yang paling sesuai dan tempoh risiko paling rendah untuk mengadakan PRU15 kerana ia melibatkan rakyat keluar berkempen dan mengundi,” kata Menteri Kesihatan itu.