Bekas pembantu ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang pernah memaklumkan keberadaan dalang kes 1MDB tersebut kepada pihak berkuasa dilaporkan telah meninggal dunia.
Kematian suspek, Kee Kok Thiam telah disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lapor FMT.
Saya boleh katakan ya, memang dia. Namun, saya tidak dapat mengesahkan perkara lain,” kata sumber SPRM.
Dalam pada itu, kematian suspek juga telah disahkan oleh pegawai kanan SPRM dan disumberkan dari Pejabat Peguam Negara. Kee juga dipercayai meninggal dunia akibat sakit mengejut.
Terdahulu, Kee yang berusia 56 tahun telah mengesahkan pertemuan dengan Jho Low yang merupakan dalang utama kes 1MDB dan pelarian dalam buruan lain yang dikaitkan dengan skandal kewangan terbesar itu di Macau.
Pun begitu, menurut Al Jazeera, SPRM percaya ahli perniagaan ini ‘bersembunyi’ di Macau bersama beberapa individu lain yang dikehendaki dalam skandal 1MDB.
Namun pengarang bersama buku Billion Dollar Whale, Bradley Hope berkata, Jho Low dipercayai berada bawah tahanan rumah di Shanghai, China.
China mengawal Jho dengan ketat disebabkan rundingan dengan Malaysia, juga kerana penaungnya dalam perkhidmatan pengintipan ditangkap dan rakan kongsinya di CCCC (China Communications Construction Company) disingkirkan,” katanya.
Jho Low kini berdepan pertuduhan di Malaysia dan Amerika Syarikat kerana didakwa menjadi dalang utama kehilangan USD4.5 bilion daripada 1MDB.
Manakala Kee pula adalah suspek dalam 1MDB dan kes SRC International, yang baru-baru ini ditahan SPRM selepas diusir dari Macau kerana visa tamat tempoh.
Takziah buat keluarga mendiang.
Baca: Terpalit Kes 1MDB, Pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio Disiasat FBI