Hari ini merupakan hari semakan keputusan pepeperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2024.
Menurut laporan, seramai 14,179 daripada 402,918 calon SPM 2024 berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 11,713 pada 2023.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan berkata, keputusan itu merupakan keputusan SPM terbaik direkodkan calon sejak syarat pensijilan dimulakan Kementerian Pendidikan (KPM) bermula 2013.
Artikel berkaitan: “Sebab bekerja, masalah keluarga…” – 8,076 Calon SPM 2024 Tak Hadir Peperiksaan
Artikel berkaitan: 900 Pelajar Di Johor Anggap SPM Tak Penting Sebab Boleh Dapat Gaji Besar Di Singapura
KPM benarkan majlis penyerahan sijil SPM di sekolah
Susulan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa majlis pengumuman dan penyerahan slip keputusan SPM 2024 dibenarkan untuk diadakan di peringkat sekolah, dengan syarat semua calon yang menduduki peperiksaan tersebut turut diraikan.
Menurut kenyataan KPM, majlis seperti ini perlu melibatkan semua calon SPM dan bukan hanya segelintir pelajar cemerlang sahaja, bagi menghargai usaha setiap individu yang telah berkerja keras dan menyumbang kepada pencapaian keseluruhan sekolah.
“KPM meraikan semua calon yang telah berusaha gigih sepanjang tempoh persekolahan mereka. Setiap pelajar memainkan peranan penting dalam membentuk prestasi sekolah secara kolektif,” katanya.
Selain itu, KPM turut memaklumkan sekolah juga digalakkan untuk membuka reruai-reruai bimbingan kerjaya dan pendidikan tinggi sempena majlis tersebut.
Inisiatif ini bertujuan memberi dorongan dan maklumat berguna kepada lepasan SPM mengenai peluang pengajian dan kerjaya masa hadapan.
Sumber: Berita Harian