Kerajaan merancang untuk memperkenalkan sistem pengesahan umur dan identiti Kenali Pelanggan Anda (eKYC) bagi mengawal akses kanak-kanak terhadap aplikasi mudah alih yang tidak sesuai dengan usia mereka, termasuk aplikasi temu janji seperti OMi.
Langkah itu bertujuan mengelakkan penyalahgunaan aplikasi digital dalam kalangan pengguna bawah umur.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pelaksanaan eKYC akan menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport, dan MyDigital ID bagi memastikan hanya pengguna yang disahkan layak dapat mengakses aplikasi berisiko tinggi.
Katanya, pendekatan itu penting selepas laporan kes rogol membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang berkenalan dengan lelaki dewasa melalui aplikasi OMi.
Artikel berkaitan: Selain Roblox, Ini 9 ‘Online Game’ Popular Sedang Diteliti Kerajaan Untuk Dilesenkan
Artikel berkaitan: Bukan Sekadar Potensi, 87% Komitmen Pelaburan Asing Ke Malaysia Dah Jadi Kenyataan
Beliau memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan meneliti aplikasi tersebut serta memanggil syarikat pengendalinya bagi mendapatkan penjelasan mengenai mekanisme verifikasi umur yang digunakan.
Langkah sama turut dilaksanakan terhadap aplikasi permainan dalam talian Roblox, yang sedang disemak dari aspek keselamatan untuk pengguna bawah umur.

Menurut Fahmi, kerajaan mengambil serius insiden yang dikaitkan dengan permainan Roblox selepas seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun didakwa mencederakan adiknya berusia enam tahun.
Beliau berkata, hasil siasatan awal polis menunjukkan permainan itu mungkin menjadi faktor penyumbang, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Sumber: Buletin TV3
