Seramai 25 ahli parlimen pembangkang telah mengemukakan usul tak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin seperti yang disenaraikan dalam Kertas Perintah.
Menurut FMT, usul ini dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dari parti DAP dan satu lagi dari Ahli Parlimen Tawau, Christina Liew yang juga merupakan ketua PKR Sabah.
Usul yang sama turut dikemukakan oleh 11 Ahli Parlimen dari Amanah, tujuh dari parti Warisan dan lima dari Pejuang.
Pun begitu, terdapat juga usul percaya yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salkeh dari PAS dan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassin dari Barisan Nasional.
Tambah FMT lagi, Kertas Perintah tersebut menunjukkan sebanyak 62 usul telah dikemukakan oleh ahli parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan.
Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham mengatakan, usul undi tak percaya terhadap Muhyiddin ini perlu diutamakan dan menjadi perkara pertama dalam agenda Dewan Rakyat yang akan bersidang semula 2 November nanti.
Tambahnya lagi, tak ada faedah untuk wakil rakyat bincangan perkara lain sekiranya kerajaan sekarang tak dapat bertahan lagi.
Untuk pengetahuan korang, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini telah pun mengemukakan usul tak percaya pada Mei dan Julai lalu, namun perkara tersebut tak pernah dibahaskan.
Sebelum ini pula, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata, usul undi tak percaya tak boleh dibahaskan tanpa persetujuan seorang menteri.
Peraturan 15(1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan urusan kerajaan hendaklah didahulukan berbanding urusan lain dan diatur mengikut pertimbangan kerajaan.