Tidak lama dulu, viral sebuah audio berkaitan perbualan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang membawa kepada tularnya ayat ‘Can I advise you something?’.
Menerusi rakaman audio tersebut, ramai yang menuduh Rosmah telah ‘mengawal dan mempengaruhi’ Najib dalam membuat sebarang keputusan sehinggakan audio berkenaan telah digunakan sebagai eksibit dalam perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid.
“Ini adalah tuduhan tidak benar” – Rosmah
Pun begitu, Rosmah semalam memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa tempoh perkahwinannya dengan Najib takkan mencapai 34 tahun jika beliau adalah seorang yang ‘suka mengawal’ seperti yang didakwa oleh pendakwaan, lapor Astro AWANI.
Tambah Rosmah, 69, jika benar beliau mempunyai sikap ‘suka mengawal’ dan ‘mampu pengaruhi keputusan dalam sektor awam’ seperti yang cuba ditonjolkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, ia adalah satu perkara yang menghairankan.
Pihak pendakwaan cuba menggambarkan saya mempunyai keperibadian yang negatif melalui P36 (perbualan dalam rakaman audio “Can I advise you something?“) dan menggunakan tuduhan tersebut kononnya saya memerintah Datuk Seri Najib, ketika itu Perdana Menteri, untuk menuruti kehendak saya di dalam projek solar hibrid tersebut (yang saya nafikan).
“Ini adalah tuduhan yang tidak benar, tidak disahkan dan ia tidak boleh diambil pertimbangan oleh mahkamah ini. Situasi seperti ini tidak berlaku sama sekali,” katanya.
“Ini adalah resam rumah tangga dan asam garam kehidupan berkeluarga”
Malah kata Rosmah lagi, beliau dan suami juga manusia biasa macam pasangan lain juga dan perbualan mereka itu lebih bersifat peribadi.
“Saya memberikan pendapat saya dan suami pula mendengar, dan begitulah sebaliknya.
“Ada ketikanya, suami saya pula memberikan pandangan beliau dan saya pula menjadi pendengar. Sama ada suami saya menerima pandangan saya atau sama ada saya menerima pandangan suami, adalah soal kedua.
“Ini adalah resam rumah tangga dan asam garam kehidupan berkeluarga,” katanya.
Kata Rosmah lagi, dia tidak pernah mahu suaminya menuruti semua pandangannya dan dia hanya sekadar menekankan mengenai pandangan dan perasaannya saja.
Rosmah kini berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin melalui Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek tersebut secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Perbicaraan kes tersebut akan bersambung lagi hari ini.