Semalam, rakyat Malaysia digemparkan dengan berita pemergian Tan Sri Khalid Ibrahim yang merupakan seorang individu penting dalam sejarah pembangunan dan ekonomi Malaysia.
Abdul Khalid bin Ibrahim merupakan seorang ahli politik Malaysia yang berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 dari tahun 2008 sehingga 2014.
Berjasa besar dalam ‘Guthrie Dawn Raid’
Guthrie Corporation merupakan syarikat perdagangan British pertama di Asia Tenggara yang memperkenalkan perusahaan perladangan kelapa sawit dan getah pada tahun 1896.
Tan Sri Khalid Ibrahim merupakan sosok penting dalam sejarah apabila beliau terpilih untuk menjadi individu yang melancarkan Guthrie Dawn Raid atau Serangan Subuh Guthrie pada tahun 1981.
Syarikat itu menjadi sebuah syarikat milik penuh rakyat Malaysia selepas Tun Mahathir Mohamad mengatur ‘Serangan Subuh’ untuk mengambil alih kumpulan itu di Bursa Saham London dan pengambil alihan itu membolehkan Malaysia mendapat pemilikan kira-kira 200,000 ekar (800 km²) tanah pertanian kembali kepada rakyat Malaysia.
Rancangan tersebut disusun rapi oleh mantan Perdana Menteri Keempat yang juga disertai oleh Gabenor Bank Negara yang juga Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) ketika itu iaitu Tun Ismail Ali.
Khalid Ibrahim merupakan Ketua Pegawai Eksekutif PNB ketika itu kemudian beliau diangkat menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie Berhad dari tahun 1995 hingga 2003.
Menteri Besar Selangor yang mendahulukan rakyat
Bermula tahun 2008, Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor pertama yang bukan dari parti politik Barisan Nasional.
Beliau menyandang jawatan tersebut selama enam tahun dan jasanya terhadap rakyat Selangor diangkat tinggi apabila beliau memperkenalkan Dasar Hasil Negeri Untuk Rakyat menerusi pelbagai program di bawah agenda ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’.
Selain itu, di bawah pentadbirannya yang berjimat-cermat itu juga rizab simpanan negeri meningkat kepada RM 3.3 billion setakat tahun 2014, sebahagian simpanan itu telah digunakan untuk kebajikan rakyat Selangor seperti pembinaan Jambatan Ketiga Klang serta perumahan mampu milik.
Selangor menjadi pemangkin ekonomi negara dengan menyumbang peratusan yang tinggi kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), dan seterusnya menjadi antara destinasi pelaburan terunggul.
‘Hero’ yang disenangi rakyat
Tinjauan Lobak Merah di media sosial mendapati ramai netizen yang mengagumi Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim kerana jasanya yang besar kepada Malaysia serta rakyat Selangor khususnya.
Beliau juga terkenal dengan sifat rendah dirinya dan merupakan seorang pemimpin yang sangat bijaksana.
Allahyarham merupakan anak jati Jeram, Kuala Selangor dan beliau meninggalkan isteri Puan Sri Salbiah, empat orang anak serta dua orang cucu.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur dan telah selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Selangor.
Al-Fatihah buat Tan Sri Khalid Ibrahim
Baca: ‘Google Doodle’ Beri Penghormatan Kepada Pakar Zoologi Malaysia