Peperangan yang kini berlaku di antara Rusia dan Ukraine dikatakan bakal berakhir selewat-lewatnya pada pertengahan Mei, menurut seorang penasihat kepada ketua kakitangan presiden Ukraine dalam laporan NewsWeek.
Dalam video yang dikongsi oleh media Ukraine, Oleksiy Arestovich berkata bahawa Rusia berkemungkinan kehabisan sumber untuk terus menyerang Ukraine dalam tempoh dua bulan akan datang.
“Saya fikir selewat-lewatnya pada Mei, awal Mei, kita harus mengadakan perjanjian damai, mungkin lebih awal, kita akan lihat, saya bercakap mengenai tarikh yang berkemungkinan,” kata Arestovich dalam temu ramah dengan Reuters.
Kemelut tersebut dilihat ada sedikit kemajuan dalam perbincangan antara Kiev dengan Moscow selain daripada membuka koridor kemanusiaan di bandar-bandar yang tidak terjejas dengan serangan.
“Kini kita berada di dua persimpangan, sama ada perjanjian damai akan berlaku dengan pantas iaitu dalam satu ke dua minggu, atau pengunduran tentera dan segala-galanya,” katanya dalam video yang disiarkan oleh beberapa media Ukraine.
Bagaimanapun, Arestovich berkata dalam senario terburuk, tentera Rusia berkemungkinan menghantar barisan rekrut baharu selepas menjalani latihan selama sebulan dan beliau turut mendakwa meskipun keamanan berjaya dicapai, pertempuran taktikal kecil mungkin berterusan selama setahun, walaupun Ukraine mendesak tentera Rusia meninggalkan negara itu.