Kata orang, malang tidak berbau.
Seorang pempengaruh kecergasan Indonesia dilaporkan maut akibat patah leher ketika melakukan senaman ‘barbell’ selepas alat senaman itu terjatuh di belakang badannya.
Terdahulu, Justyn Vicky, 33, dilaporkan sedang melakukan rutin senaman di sebuah gimnasium di Bali pada 15 Julai lalu. Berdasarkan video yang tular, mangsa dilihat sedang melakukan ‘squat-press’ dengan ‘barbell’ di bahunya.
Ketika melakukan rutin senaman itu, mangsa dilihat tidak dapat berdiri tegak selepas melakukan squat. Kemudian, mangsa terjatuh dalam posisi terduduk berikutan hilang keseimbangan selepas tidak dapat menampung beban itu.
Menurut laporan, Justyn yang juga seorang jurulatih peribadi dan ahli bina badan itu cuba mengangkat bebanan 210 kilogram (kg). Akibat kegagalan mendapat keseimbangan, mangsa mengalami patah leher dan mampatan kritikal saraf penting yang menjadi penyambung ke jantung dan paru-paru.
Untuk rekod, mangsa dikejarkan ke hospital pada hari yang sama namun meninggal dunia selepas pembedahan kecemasan.
Pemergian Vicky yang mempunyai 30,000 pengikut di Instagram itu ternyata memberi kesan kepada orang ramai. Sebilangan besar rakan dan peminat memberi penghormatan terakhir kepadanya dan The Paradise Bali, gimnasium tempat mangsa bekerja.
Menurut seorang individu, Vicky lebih daripada sekadar pakar kecergasan kerana dia sering memberi inspirasi dan motivasi kepada orang ramai.
Kredit: Berita Harian
BACA: Good Vibes Festival Dibatalkan Serta Merta – Fahmi Fadzil