Tiada yang lebih meruntun hati selain kehilangan orang yang kita sayangi. Itulah yang dilalui, Noor Fatihah Osman apabila suaminya maut dalam kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, awal pagi tadi.
Lebih memilukan lagi, pasangan itu baru sahaja selesai kenduri kahwin minggu lalu. Mohd Amirul Nizam Sukarno, 25, guru dan warden di pusat tahfiz yang terbakar akibat lintar pintas itu.
Menurut mStar, Fatihah, 23, menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6 pagi tadi sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Ibu saudara Fatihah, Asmah Yaakob, 50, ketika ditemuramah Bernama di lokasi kejadian berkata, pemergian arwah memberi kesan yang sangat mendalam terhadap keluarganya.
“Kami sekeluarga amat rapat dengan arwah, pemergiannya amat kami rasai. Kali terakhir saya bertemu Amirul ketika majlis perkahwinannya di Kelantan minggu lepas.”
Difahamkan, pasangan itu sudah bernikah pada bulan Mei namun baru berkesempatan membuat majlis kenduri pada minggu lalu.
Allahyarham disifatkan sebagai peramah dan sentiasa mengambil berat terhadap orang lain serta akan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.
Mengulas tentang rutin mereka, menurut Asmah, Allahyarham kebiasaannya akan menghubungi Fatihah yang sedang melanjutkan pengajian hadis di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan setiap hari.
“Namun, hari ini beliau (arwah) tidak membuat sebarang panggilan kepada Noor Fatihah.”
Perkara itu membuatkan isterinya tidak sedap hati lalu cuba menghubungi suaminya tetapi panggilan tersebut tidak dijawab.
Tragedi malang yang dilaporkan berlaku di bangunan tiga tingkat itu telah meragut nyawa 22 pelajar serta dua guru di pusat tahfiz berkenaan.
Semoga isterinya kuat dengan ujian ini dan semoga semua mangsa ditempatkan bersama para solihin. Al Fatihah.
Baca: “Saya kehilangan seorang anak. Tetapi Allah selamatkan seorang lagi…”