in

Pembunuh Sosilawati Kekal Dihukum Gantung, Ini Kes Pembunuhan Jutawan Kosmetik Paling Tragis Di Malaysia

kes pembunuhan sosilawati

Mahkamah Persekutuan hari ini telah memutuskan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas peguam, N Pathmanabhan dan bekas pekerja ladang T Thilaiyalagan kerana membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya pada tahun 2010.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas menolak permohonan semakan hukuman mati terhadap mereka untuk mengetepikan hukuman gantung itu.

“Permohonan ditolak, hukuman gantung dikekalkan,” kata Tengku Maimun yang membacakan keputusan itu yang bersidang bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Dua pemohon terbabit memohon hukuman mati itu diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.

Manakala seorang lagi pemohon, R Kathavarayan, yang pada mulanya memfailkan permohonan semakan yang sama, menarik balik permohonan terbabit menjadikan ketiga-tiga pembunuh kekal dengan hukuman tersebut.

553

Artikel berkaitan: Sebelum Dato’ Aliff, DSV dan Sajat, Ini 6 Usahawan Kosmetik Pernah Viral Suatu Masa Dulu

Kes pembunuhan Datuk Sosilawati termasuk tiga rakan sekerjanya pernah menggemparkan Malaysia dan mendapat liputan meluas media 14 tahun lalu.

Mungkin ada yang ingat-ingat lupa mengenai kes tragis ini, mari kita imbas semula antara kes berprofil tinggi yang misteri dan mengambil tempoh panjang untuk diselesaikan.

Pada 30 Ogos 2010 iaitu ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa, Sosilawati, 47, yang merupakan pengasas Nouvelle Visage bersama tiga rakan sekerjanya, pegawai bank Norhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, serta pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44 dilaporkan hilang selepas ke Banting, Selangor atas urusan jual beli tanah.

GZWERIQbkAAgP2B

Ketika itu, Sosilawati gagal dihubungi selepas menuju ke Banting. Detik kehilangan awal mereka berempat menjadi paparan muka hadapan akhbar-akhbar pada waktu itu.

Kemudian, tersebar desas-desus kononnya Sosilawati membawa wang berjumlah RM4 juta dan hilang ketika dalam perjalanan menemui seorang peguam bagi urusan pembelian tanah bernilai kira-kira RM1.4 juta di Pulau Pinang.

Namun teka-teki kehilangan ikon usahawan itu mula terungkai apabila polis menemui kereta BMW X5 dinaiki Sosilawati di parkir Pangsapuri Angsana, dekat USJ1, Subang Jaya pada 6 September 2010 sebelum kereta BMW 5 Series milik peguamnya ditemui tidak jauh dari Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Puncak episod kehilangannya terjawab apabila lima suspek ditahan di sebuah ladang di Banting pada 9 September. Selang beberapa hari, seorang peguam bergelar Datuk dan juga adiknya, ditahan bagi membantu siasatan.

Mangsa dipukul, ditikam, dibakar

Suspek pembunuhan membawa polis ke lokasi pusat ternakan ayam Tanjung Sepat iaitu tempat Sosilawati dan tiga yang lain dibunuh kejam beramai-ramai.

Berdasarkan soal siasat terhadap suspek, mangsa dipukul dengan kayu kriket dan senjata tumpul sebelum tangan diikat menggunakan dawai.

62577 435485451991 7025055 n

Kemudian mangsa ditikam menggunakan senjata tajam oleh pembunuh hingga mati. Salah seorang daripada mangsa dikatakan dikerat tubuhnya sebelum dibakar menjadi abu. Cukup ngeri untuk dibayangkan seksaan dialami kesemua mangsa ini.

Selepas membunuh, pembunuh telah melumur tubuh mangsa dengan tahi lembu untuk mempercepatkan proses pembakaran. Seterusnya, mangsa dijirus minyak petrol dan membakar sehingga menjadi abu bertujuan untuk menghapuskan bukti di ladang kelapa sawit milik salah seorang pembunuh.

Selepas proses pembakaran, cebisan dan abu mayat kesemua mangsa dimasukkan ke dalam guni atau bekas tertentu sebelum dibuang ke Sungai Panchau yang terletak dua kilometer dari ladang ayam milik suspek bekas peguam. Senjata yang digunakan pembunuh turut dibuang ke dalam sungai.

Ketika usaha mencari bukti kes di dasar Sungai Panchau, pasukan Polis Marin menemui pelbagai bukti pembunuhan seperti cebisan tisu anggota tubuh dan tulang mangsa, gelang emas, jam tangan berjenama, pisau dan besi.

Screenshot 2024 10 08 162722

Satu persatu mula terungkai apabila sidang akhbar diadakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ketika itu, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan keempat-empat mangsa termasuk Datuk Sosilawati dibunuh dengan kejam.

Hukuman pembunuh

Susulan segala bukti dan DNA diperoleh, Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya T Thilaiyalagan, 21, R Matan, 22, dan R Kathavarayan, 33, diheret ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting atas tuduhan membunuh pada 13 Oktober 2010.

Manakala dua pembantu bekas peguam terbabit, U Suresh dan K Sarawanan yang mengaku bersalah menghapuskan bahan bukti pembunuhan dijatuhi hukuman penjara 20 tahun.

Perbicaraan kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Shah Alam pada 4 Julai 2011. Fakta yang mengejut apabila pakar forensik mengesahkan penemuan 2,030 spesimen besar tulang atau gigi mangsa yang dibakar pada suhu sekurang-kurangnya 800 darjah Celsius ke atas.

61449201403 sosilawati

Penantian panjang tempoh perbicaraan berakhir pada 23 Mei 2013 apabila Hakim Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas keempat-empat tertuduh selepas mendapati mereka bersalah membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.

Pada 16 Mac 2017, Pathmanabhan, Thilaiyalagan, dan Kathavarayan kekal ke tali gantung, selepas rayuan mereka ditolak Mahkamah Persekutuan.

Namun, Matan bernasib baik apabila rayuan pekerja ladang itu dibenarkan dan dia dilepas dan dibebaskan oleh lima panel hakim yang bersidang kerana kekurangan bukti berhubung kes pembunuhan itu.

Menurut laporan, pembunuhan ini dilakukan atas faktor tamak dan bermotifkan wang. Ia dilakukan ketika Sosilawati pergi ke ladang itu untuk mempercepatkan tarikh penunaian dua cek bernilai RM4 juta yang dikeluarkan Pathmanabhan atas urusan penjualan hartanah.

“Duit tak mampu beli kasih sayang ibu kami yang dibunuh kejam”

Pastinya, tragedi ini amat perit buat Rita Sosilawati yang kehilangan ibunya dalam keadaan yang menyayat hati.

Susulan keputusan hukuman kes ini, bekas wartawan, Syahril A. Kadir berkongsi mengenai kesedihan seorang anak mengenangkan nasib yang menimpa ibunya.

486817

 

Menurut Rita, tidak ada harta di dunia ini yang mampu membeli kasih sayang atau mengubat kerinduan seorang anak pada ibunya.

“Kami tidak ada kubur untuk diziarahi bang, walau secebis tulang pun tidak ada untuk kami kebumikan,” luahnya.

Alhamdulillah, doa Rita dimakbulkan. Al-Fatihah untuk ibunya dan semua mangsa yang dibunuh kejam dalam kes ini.

Sumber: Harian Metro, Buletin TV3