Semalam (9 Julai 2024), Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan hukuman mati ke atas bekas buruh kontrak, Muidin Maidin yang telah membunuh seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Nurul Nadirah Abdullah atau digelar Dirang oleh keluarganya pada tahun 2012.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah sebulat suara menolak permohonan Muidin untuk mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya pada tahun 2013 yang lalu.
Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira keadaan kes walaupun selepas peguam yang mewakili tertuduh mengatakan yang anak guamnya ini telah pun insaf dengan perbuatannya dan banyak mendekatkan diri dengan aktiviti keagamaan.
Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari selaku responden telah membantah kerana walaupun Muidin telah insaf, ia tidak mencukupi untuk tebus semula perbuatan kejam yang telah dilakukan kepada Dirang.
Untuk korang yang dah lupa dengan kes menyayat hati yang berlaku 12 tahun lalu ini, kita nak imbas semula kes Dirang yang dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan ni.
Artikel berkaitan: Mahkamah Tolak Permohonan, Pembunuh Dirang Kekal Ke Tali Gantung
Artikel berkaitan: 7 Kes Kehilangan dan Pembunuhan Kanak-kanak Yang Pernah Menggemparkan Malaysia
Dirang hilangkan diri lepas pergi ke kedai runcit
Pada 1 Mac 2012 kira-kira jam 11 pagi, wang sebanyak RM4 dan sekeping nota bertulis “Mi segera dua bungkus dan telur RM2” telah diberikan kepada Dirang oleh ibunya. Kanak-kanak yang berusia empat tahun ini mengadu kelaparan selepas bangun dari tidur dan teringin untuk makan mi segera.
Dirang telah keluar dari rumah untuk pergi ke kedai runcit berhampiran. Namun begitu, selepas setengah jam, kanak-kanak ini masih tak pulang ke rumah membuatkan ibunya mula risau.
Bapa Dirang kemudiannya bergegas ke kedai runcit tersebut untuk mencari anaknya dan hampa bila orang kedai tersebut memberitahu bahawa anaknya itu telah pun pulang selepas membeli mi segera dan telur.
Ibu bapa ini telah mencari anaknya di seluruh kawasan flat bersama penduduk-penduduk di sana serta turut membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa.
Pihak polis juga turut membuat pemeriksaan di 20 lokasi sekitar daerah tersebut untuk mengesan Dirang namun masih tak tak dapat menemui kanak-kanak ini.
Pada hari yang sama selepas pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak ini, tiga individu termasuk seorang wanita telah diberkas selepas penduduk di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Johor memberitahu pihak polis tentang kecurigaan mereka ke atas tiga suspek yang baru berpindah ke rumah kosong berhampiran rumah keluarga Dirang pada Disember.
Ini kerana, selepas mereka berpindah ke sana, terdapat banyak kes kecurian yang berlaku di sana. Tak cukup dengan itu, nenek Dirang, Milnah Jul juga pernah bergaduh dengan salah seorang suspek yang ditahan kerana menegur tentang kecurian kabel.
Serpihan mayat Dirang ditemui rentung
Selepas seminggu, pihak polis telah menemui serpihan rangka manusia yang rentung di Ladang Kelapa Sawit Nusa Damai pada 8 Mac 2012 selepas menemui sebelah selipar mangsa pada jarak 200 meter dari lokasi rumah manakala sebelah lagi berada pada jarak 500 meter di kawasan ladang kelapa sawit.
Tak cukup dengan itu, pihak polis turut menemui mi segera dan telur yang dah pecah serta gula-gula yang dipercayai telah dibeli oleh Dirang pada hari kehilangannya itu.
Selepas ujian DNA dibuat ke atas serpihan mayat yang ditemui, pihak polis mengesahkan bahawa mayat tersebut milik Dirang selepas ianya menunjukkan padanan dengan DNA ibunya. Ini sekaligus menamatkan misteri kehilangan Nurul Nadirah.
Lebih memilukan, ibu Dirang telah pengsan seketika kerana menangis lebih satu jam selepas dihubungi oleh pihak polis mengesahkan mengenai hasil ujian DNA yang diterima oleh mereka pada 12 Mac 2012.
Malah Roselyn dan suaminya Lima Medeng juga enggan ditemu bual oleh pemberita kerana terlalu sedih dan terkejut dengan perkembangan tersebut.
Mana tidaknya, kanak-kanak ini telah dibunuh dan dibakar tanpa belas kasihan. Tak cukup dengan itu, dia telah disumbat ke dalam lubang sedalam 0.36cm dan ditutup dengan papan lapis. Pihak forensik juga turut menemui tengkorak bersaiz kecil, serpihan kulit kepala, sedikit rambut dengan wajah mangsa dalam keadaan mendongak.
Lebih kejam lagi, kaki mangsa juga dan bercerai dari badannya dan ruang pembukaan dada dan abdomennya turut terkoyak sebab kepanasan haba yang dahsyat. Perkara ini telah membuatkan proses pengecaman awal sukar dibuat sampai polis ingat mayat yang ditemui tu adalah orang dewasa.
Pembunuhan disebabkan dendam?
Pada awal siasatan, pihak polis mengesyaki bahawa bapa Dirang merupakan dalang dalam kes ini, namun ternyata mereka salah. Bapa Dirang bagaimanapun telah diarah untuk pulang ke Filipina selepas pihak polis menemui yang lelaki ini tak mempunyai dokumen yang sah untuk berada di Malaysia.
Ketika siasatan pihak polis mengatakan motif kejadian adalah disebabkan dendam kerana nenek mangsa pernah memarahi suspek dan memberi amaran kepada keluarga mangsa untuk tidak campur dengan urusan mereka.
Dirang dikatakan telah dibungkus dengan kain batik sebelum dibawa keluar dari rumah suspek yang terletak berhadapan dengan kediaman mangsa.
Malah, saksi turut mengatakan yang dorang melihat jari tangan kanak-kanak terkeluar dari bungkusan ketika suspek yang merupakan pasangan suami isteri sedang menunggang motosikal untuk keluar dari kawasan tersebut.
Penduduk di sana yang melihat perkara itu cuba untuk mengejar mereka namun gagal.
Pembunuh Dirang ke tali gantung
Selepas perbicaraan dijalankan, hakim telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Muidin Maidan pada 28 Jun 2013 kerana menyebabkan kematian Dirang.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman mengatakan bahawa pihak pendakwa raya telah berjaya membuktikan kes tersebut melampaui keraguan yang munasabah dan pembelaan tertuduh mengatakan yang dia tidak menyimpan dendam ke atas keluarga mangsa hanyalah satu penafian yang tidak berasas.
Selepas menjatuhkan hukuman tersebut, hakim telah mengutuk perbuatan Muidin dan memanggil lelaki ini sebagai penjenayah yang kejam, tak berhati perut dan tak berperikemanusiaan kerana telah melakukan jenayah ke atas kanak-kanak yang tak bersalah dan tak berdosa.
DNA yang ditemui di bahagian sulit dan dubur mangsa serta cebisan kain pelikatnya yang ditemui pada mangsa menjadi antara bukti terpenting. Selain itu, padanan tanah yang diambil dari motosikal suspek di tempat kejadian berserta testimoni dari kesemua saksi menunjukkan dia sebagai pelaku kes pembunuhan ini.
Selepas mendengar keputusan perbicaraan, Muidin yang sebelum ini kelihatan tenang telah duduk dan mula menangis. Tiga wanita yang dipercayai mempunyai hubungan dengan lelaki ini juga turut menangis apabila hukuman ke atasnya dibacakan.
Ketika dia diiringi keluar untuk dibawa ke lokap mahkamah, Muidin telah menjerit dan menyepak pemberita dan jurugambar yang berada di luar mahkamah menyuruh mereka untuk ketepi.
Sepanjang perbicaraan yang berjalan selama empat bulan ini, seramai 35 pihak pendakwaan dan tiga saksi dari pihak pembelaan telah memberikan keterangan yang akhirnya membawa kepada hukuman mati ke atas Muidin Maidin.
Sumber: Malay Mail