Meskipun pendapatan sebagai pemandu teksi yang diperolehinya tidak seberapa, namun ia tidak menghalang Cahyono Tandi untuk membantu orang lain.
Pemandu berusia 57 tahun itu masih boleh bermurah hati dengan menawarkan perkhidmatan teksi secara percuma kepada golongan orang kurang upaya, warga emas, pelajar sekolah dan wanita dalam kecemasan untuk bersalin di sekitar bandar Kuantan.
Menurut Harian Metro, Cahyono yang berasal dari Indonesia itu mempunyai taraf pemastautin tetap (PR) di negara ini dan menetap di Kampung Kurnia, Kuantan serta mempunyai seorang anak berusia 14 tahun.
Setiap pagi selepas Subuh hingga ke malam dia akan memulakan operasinya dan akui berdepan dengan situasi serta pelanggan yang kurang berkemampuan setiap hari.
Kadang kala ada juga penumpang yang takut mahu menggunakan perkhidmatannya kerana khuatir akan ditipu atau merasakan tambang mahal disebabkan kereta nampak mewah.
Cahyono mula terbuka hati untuk membuat kerja amal itu selepas kejadian menumpangkan seorang pelajar sekolah. Pelajar itu dikatakan menangis apabila tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar tambang.
“Padahal dia hanya tidak cukup 20 sen untuk bayar tambang tetapi mungkin sebab ketakutan, dia menangis.”
Kasihan dengan pelajar itu, Cahyono membuat keputusan untuk memberikannya tambang percuma dan sejak itu dia mula terbuka hati untuk membuat amal.
Menurutnya, pengalaman yang paling sukar dilupakannya sepanjang memberikan perkhidmatan teksi percuma itu adalah ketika dia membantu seorang wanita yang dalam kecemasan dan kesusahan dengan menghantarnya ke Kuala Lumpur tanpa mengenakan sebarang bayaran. Selain itu, dia juga pernah menghantar seorang pemuda yang terdesak mahu ke Kuala Terengganu tahun lalu.
Cahyono sama sekali tidak pernah risau jika duitnya tidak cukup kerana yakin bahawa rezeki Allah itu luas. Malah dia akui rezekinya tetap bertambah dan datang dalam pelbagai bentuk biarpun menawarkan perkhidmatan percuma kepada golongan terbabit.
“Saya tidak rugi sebaliknya Tuhan murahkan rezeki saya kerana orang yang saya bantu selalunya akan mendoakan untuk saya.”
“Saya tak rasa susah, makan minum cukup dan boleh tanggung isteri dan seorang anak setakat ini.”
Sepanjang tiga tahun melakukan kerja amal itu, dia berasa gembira kerana sudah membantu ramai golongan memerlukan dan berharap ia akan menjadi ikutan kepada pemandu teksi lain.
Membantu mereka yang memerlukan tidak terhad kepada memberi wang ringgit dan makanan tetapi juga termasuklah perkhidmatan. Moga menjadi ikutan!
Baca: Lelaki Mualaf Sedia Khidmat Teksi Untuk Golongan Miskin Dengan Tambang Hanya 10 Sen