in

Pelopor Menu Rahmah Meninggal Dunia, Ini Apa Korang Perlu Tahu Tentang Salahuddin Ayub

Collage 29

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pemergian mengejut Datuk Seri Salahuddin Ayub semalam telah dianggap sebagai kehilangan yang sangat besar bagi ahli politik dan rakyat Malaysia.

Beliau yang merupakan Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup merangkap Naib Presiden Parti Amanah  ini amat disenangi ramai dengan sifatnya yang lembut, rendah diri serta ramah.


Allahyarham yang juga merupakan Ketua Pakatan Harapan Johor disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar pada jam 9.23 malam semalam selepas menjalani pembedahan untuk pendarahan otak di usia 61 tahun.

Salahuddin telah meninggalkan seorang isteri, Datin Seri Fatimah Taha dan enam orang anak, empat lelaki dan dua perempuan.

Latar belakang

Salahuddin Ayub 696X464 1

Dilahirkan pada 1 Disember 1961, Salahuddin telah menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Serkat, Pontian dari 1967 sehingga 1973 sebelum memasuki Sekolah Menengah Inggeris Teluk Kerang, Pontian dari 1974 sehingga 1976.

Berasa dari Tanjung Piai, Salahuddin kemudiannya menyambung persekolahannya di Sekolah Menengah Sri Perhentian, Pontian dan melengkapkan Tingkatan Lima dan Enam di Sekolah Menengah Datuk Penggawa Barat di Pontian.

Beliau kemudiannya menyertai program Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Tunku Abdul Rahman pada tahun 1982 dan melanjutkan pelajaran ke Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1984.

Politik

05674C86 Salahuddin Ayub Menu Rahmah Bernama Pic 290523

Nama Salahuddin tidak asing di dalam dunia politik sehingga beliau dilantik sebagai Naib Presiden Parti Amanah.

Sebelum menceburi secara aktif di dalam bidang politik, beliau merupakan Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Pontian dari 1981 sehingga 1983 sebelum menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada tahun 1983.

Ketika bersama dengan PAS, beliau telah bermula dengan menjadi Naib Pengerusi PAS Pontian (1983-1987) sebelum naik pangkat menjadi Naib Presiden dari tahun 2009 sehingga 2015.

Ketika Pilihanraya Umum (PRU) 2004, PAS telah menamakan Salahuddin sebagai calon untuk bertanding bagi parlimen Kubang Kerian dan berjaya menang dan berkhidmat selama dua penggal.

Salahuddin kemudiannya telah turut serta dalam pembentukan parti baharu Amanah, meninggalkan PAS bersama beberapa ahli lain termasuk Khalid Samad ketika berlaku konflik dalaman pada 31 Ogos 2015.

Ketika PRU ke-14, naib pengerusi Amanah ini telah berjaya memenangi kerusi parlimen di Pulai dan kerusi DUN bagi Simpang Jeram pada tahun 2014 menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH) sebelum dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum kerajaan PH tumbang pada Februari 2020.

Pengerusi PH Johor itu mempertahankan kerusinya pada pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022 dan PRU ke-15 pada 19 November tahun lepas sebelum dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Ketika berkhidmat sebagai menteri, Salahuddin merupakan orang yang bertanggungjawab mencipta pelbagai inisiatif di bawah Payung Rahmah bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup lebih-lebih lagi ketika ekonomi negara sedang sembuh dari pandemik Covid-19.

Beliau juga merupakan seorang menteri yang sering dilihat turun ke padang bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dan menstabilkan harga barang serta mengurangkan kesan inflasi kepada pengguna.

Malah, sebelum beliau dimasukkan ke hospital, beliau sempat membuat lawatan ke Pekan Nat, Kedah bagi memeriksa harga barang di sana.

Penghormatan terakhir

Selepas kematiannya disahkan malam tadi, ucapan takziah dan penghormatan telah diberikan oleh ahli-ahli kabinet serta ahli politik lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan pemergian Salahuddin merupakan kehilangan peribadi untuknya dan negara.

Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga, dan saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat.”

“Beliau tak pernah menjerit”

Pengerusi PH, Datuk Wira Mahfuz Omar mengatakan bahawa Allahyarham Salahuddin tidak pernah meninggikan suara walaupun ketika dimasukkan ke dalam lokap.

Beliau tak pernah menjerit. Kami pernah masuk lokap bersama, kami ditangkap ketika protes semasa bersama dengan Belia PAS dulu. Masa tu pun, beliau cakap lemah lembut.

Ia merupakan pemergian yang mulia. Kami akan rindukan beliau tapi kami juga akan teruskan perjuangan beliau untuk negara yang lebih baik.”

Jenazah Datuk Seri Salahuddin Ayub selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Pontian pukul 12.05 tengah hari ini. Tiga solat jenazah telah diadakan untuk Allahyarham di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di mana salah satunya diimamkan oleh Anwar Ibrahim.

Moga Allahyarham DS Salahuddin ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan keluarganya diberikan ketabahan atas kehilangan ini.

Sumber: The Star, Malay Mail, The Vibes

 

Baca: Kerajaan Rancang Tubuhkan Pasar Raya ‘Rahmah’ Untuk Tangani Kos Sara Hidup

Ft Pasar Raya Rahmah

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.