Pada Hari Raya Aidilfitri, rata-rata keluarga dan pasangan akan memakai pakaian sedondon atau warna yang seakan-akan sama. Memakai Baju Raya yang sedondon bukan sahaja mampu mengeratkan lagi hubungan, malah akan membuatkan gambar yang diambil kelihatan lebih cantik.
Bercerita tentang Baju Raya, seorang pelawak yang dikenali sebagai Ayim ada berkongsikan persembahannya sehingga mencuri perhatian ramai warganet. Menerusi video tersebut, Ayim bercerita tentang warna Baju Melayu yang dipakainya.
Baju warna air paip Kelantan
Jelasnya, Baju Melayu pada hari ini mempunyai nama yang unik, tidak seperti pada zaman dahulu. Sebagai contoh, Boysenberry membawa maksud warna ungu pekat dan Mahogany membawa maksud warna merah pekat.
Jadi untuk turut serta dalam ‘trend’ semasa, Ayim berkata dia memakai baju berwarna ‘air paip Kelantan’ yang membawa maksud warna coklat. Kenyataan bersahaja pelawak ini ternyata menghiburkan penonton di situ yang dilihat ketawa terbahak-bahak.
“Okay saya dah tahu, jangan sebut nama biasa. Sebut nama luar biasa. Tak lama tu ada orang tanya baju raya saya color apa? Air paip Kelantan!”, ujar pelawak ini secara bersahaja.
https://www.instagram.com/p/Crf-3fbpDhi/
Warganet turut terhibur
Video ini ternyata tular di media sosial dan dipuji ramai kerana ia dilihat sebagai jenaka yang bijak kerana menggunakan isu semasa.
Hasil tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata mereka yang menetap di Kelantan turut terhibur dengan jenaka pelawak ini. Jelas seorang individu, jenaka tersebut sesuai dengan situasi mereka di sesetengah tempat di Kelantan yang tidak mendapat bekalan air bersih.
Untuk rekod, isu air bersih di Kelantan bukanlah masalah baru yang dihadapai oleh penduduk di sana. Cuma pada tahun ini, masalah ini mendapat perhatian ramai kerana ia berlaku pada perayaan Aidilfitri yang menyukarkan penduduk untuk bersiap dan memasak.
BACA: Tular Video Wanita Mengamuk Dekat Stesen Minyak Sebab Tandas Tiada Air