Seorang remaja 14 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Parit hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak asuhan ibunya yang berusia lapan tahun.
Menurut laporan, tertuduh yang merupakan pelajar Tingkatan Dua itu membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Iskandar Perdana, pada 11 pagi, 14 November 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Artikel berkaitan: Pakar Forensik Dakwa Ada Air M*ni Milik Suami Pengasuh Pada Bahagian Sulit Bayi 9 Bulan
Artikel berkaitan: Warga Nepal Disyaki Liw*t Kucing Sebelum Campak Dari Tingkat 4 Ditahan Polis

Perbuatan remaja itu terbongkar selepas mangsa yang menangis dan enggan memasuki rumah pengasuh memaklumkan kepada ibunya bahawa dia takut menjadi mangsa perlakuan tidak sepatutnya, termasuk diminta membuka seluar oleh tertuduh.
Mangsa mendakwa, perbuatan itu telah beberapa kali dilakukan terhadapnya ketika pengasuh tidak berada di rumah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 29 Disember untuk laporan akhlak.
Sumber: Kosmo!
