Seorang pegawai imigresen didakwa menyimpan 12 keping pasport asing di pinggang seluarnya ketika tertidur di tempat kerjanya iaitu di pejabat Operasi Terminal 2 KLIA pada 1 Januari lalu.
Menurut laporan, kejadian itu terbongkar apabila seorang pegawai imigresen lain menganggap tindakan rakan setugasnya yang tidur bukan pada waktu rehat sebagai mencurigakan.
Ketika pegawai imigresen lain mahu mengejutkan pegawai yang tidur itu, dia mendapati terdapat buku berbentuk pasport yang diselit di bahagian pinggang seluar pegawai terbabit.
Pegawai tersebut bertindak mengejutkan pegawai yang tidur itu dan melakukan pemeriksaan awal.
Artikel berkaitan: Tindakan Pegawai Imigresen Rapikan Rambut Budak Perempuan Untuk Ambil Gambar Buat Netizen Terharu
Artikel berkaitan: Wanita Dakwa Diherdik Staf Imigresen Ketika Renew Pasport, Sebab Tak Fasih Cakap Bahasa Melayu
“Hasil pemeriksaan, saya dapati terdapat 12 pasport pelbagai negara diselit di bahagian pinggang seluar pegawai itu.
“Saya kemudian mengambil pasport tersebut dan lapor perkara ini kepada Ketua Imigresen Terminal 2,” kata pegawai itu dalam satu laporan polis.
Jabatan Imigresen Malaysia jalankan siasatan
Dalam perkembangan terkini, Jabatan Imigeresen Malaysia (JIM) mengesahkan seorang pegawainya disiasat berhubung kejadian itu.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, berkata kertas siasatan integriti sudah dibuka manakala pegawai terbabit ditukar ke Depoh Tahanan KLIA tetapi belum melaporkan diri hingga kini.
“Proses siasatan integriti masih dilaksanakan secara dalaman oleh Bahagian Integriti Imigresen KLIA,” katanya.
Tegas Zakaria, pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemari nama baik dan imej jabatan.
Sumber: Berita Harian, Malaysiakini