Salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terselamat dalam tragedi kemalangan menyayat hati di Teluk Intan pada Selasa lepas, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad dilaporkan telah mengalami kecederaan parah.
Isteri mangsa, Rasidah Suhada Zulkifli dalam hantaran di Facebook berkongsi keadaan terkini suaminya yang difahamkan sudah melalui tiga pembedahan.
Antara kecederaan yang dialami Syed Isfan seperti organ dalaman terhimpit, pundi kencing bocor dan dijangkiti kuman serta tulang pinggul patah dan rusuk retak.
Menurut Rasidah, suaminya perlu menjalani dua lagi pembedahan setelah keadaan stabil.
Syed telah melalui tiga pembedahan bahagian perut dan dada kerana ususnya naik ke atas dan menghimpit paru-paru, hati dan limpa.
“Alhamdulillah, doktor berjaya membetulkan semua kedudukan organ tersebut ke asal.
“Empat tulang rusuknya yang retak tidak dapat dirawat melalui pembedahan dan kemungkinan akan sembuh dengan sendiri,” katanya.
Artikel berkaitan: “Tolong encik, tolong selamatkan saya” – Bomba Sebak Dengar Rintihan Pemandu Trak FRU Ketika Masih Sedar
Artikel berkaitan: Nahas FRU: Pemandu Lori Ada 6 Rekod Jenayah Lampau, Pernah Terlibat Jenayah R*gol
Katanya lagi, pundi kencing Syed Isfan juga mempunyai tiga bahagian kebocoran dan sudah terkena jangkitan kuman.
Doktor telah memasukkan tiub stand dalam saluran antara buah pinggang dan pundi kencing, serta menebuk tiub di bahagian luar.
“Sekarang dia kencing mengikut tiub, manakala saluran kencing biasa masih lagi rosak dan mungkin akan mengambil masa untuk doktor melakukan pembedahan pada bahagian tersebut.
“Tulang pinggul patah. Doktor telah memasukkan stand besi tetapi tidak dapat melakukan pembedahan pada bahagian mangkuk pinggul yang patah itu lagi. Perlu tunggu dia stabil dahulu,” katanya lagi.
Syed Isfan merupakan salah seorang daripada sembilan anggota yang cedera dalam kemalangan dengan lori batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada jam 8.45 pagi, Selasa lepas.
Terdahulu, sembilan anggota FRU dilaporkan meninggal dunia dengan lapan daripadanya disahkan maut di lokasi kejadian, dan seorang lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan.
Semoga mangsa-mangsa yang terselamat cepat sembuh. Amin…
Sumber: Sinar Harian, Facebook