Disebabkan dugaan payu dara membengkak dan susah untuk menghasilkan susu badan, permintaan seorang ibu untuk mendapatkan susu formula saat baru sahaja melahirkan anak ini tidak dilayan.
Disebabkan itu, anak kepada ibu yang dikenali sebagai Nurul Lubis, 30 tahun ini disahkan Hipoglisemia pada sehari selepas anak keduanya, Ahnaf dilahirkan.
Nurse marah bila minta susu formula
Katanya kepada mStar Online, anaknya yang dilahirkan songsang itu terpaksa bersalin awal secara pembedahan kerana beratnya pada waktu itu 3.9 kilogram pada usia 37 minggu..
Selepas Ahnaf dilahirkan dan kesan bius hilang pada September 2022 lepas, dia diminta untuk memberikan susu badan.
“Saya diuji pula dengan payudara bengkak dan tidak mengeluarkan susu. Anak dah nangis waktu itu sebab lapar. Saya sebagai ibu saya tidak putus asa, cuba juga tapi memang tak keluar susu.”
Sedih dan kesal didakwa mendapat layanan kasar oleh jururawat atas pemintaannya itu, Nurul mengatakan bahawa Ahnaf menangis seharian akibat kelaparan.
Lebih mengejutkan lagi, Nurul dimaklumkan doktor bahawa Ahnaf mengigil disebabkan dia mengalami Hipoglisemia.
“Nurse marah saya dan minta saya tengok pampers atau periksa takut anak kembung perut. Tetapi saya sebagai ibu, saya tahu anak sedang lapar. Rasa macam mengemis pula.”
“Sepanjang malam anak berada dengan saya tapi tak boleh minum susu. Dia akan diam kalau penat menangis dan akhirnya tidur dalam keadaan berlapar.”
“Esoknya, bila doktor datang periksa dia cakap anak saya mengigil. Saya ingatkan itu normal dan beritahu doktor yang saya dah minta susu formula daripada jururawat tapi kena marah dan dia berulang kali minta maaf kepada saya.”
Kesan sehingga kini bila anak umur 4 bulan
Akibat kesan Hipoglisemia itu, anaknya terpaksa ditahan di wad penjagaan bayi untuk dipantau paras gula dan dalam masa sama denyutan jantung juga bermasalah kerana lahir pramatang. Malah, masalah Ahnaf itu berlarutan sehingga kini walaupun sudah berusia 4 bulan.
“Seminggu anak saya kena tahan di wad sebab masalah ini. Saya dah pulang ke rumah dan terpaksa ulang alik setiap hari ke hospital untuk datang melawatnya.”
“Malah ada kesan tu sampai sekarang cuma tidak teruk. Bila lambat bagi susu dia jadi gelisah dan gelengkan kepada kiri dan kanan. Badan dia pun akan mengigil.”
Dengan peristiwa yang terjadi kepadanya, Nurul berpesan kepada ibu yang kurang pengalaman untuk ambil kisahnya sebagai pengajaran supaya perkara ini tak terjadi kepada mereka.
Ini kerana Hipoglisemia tidak boleh dipandang ringan terutamanya kepada bayi yang baru lahir kerana mengundang risiko kesihatan dan mengancam nyawa.
“Memang susu ibu terbaik. Tetapi kalau macam kes saya ni nasi pun dah jadi bubur. Jadi sediakan susu formula kalau payudara bengkak dan tak boleh keluarkan susu sebab nyawa anak lagi penting.”
Baca : Mampu Terjemah Punca Bayi Menangis, Peranti Pintar Ini Bakal Jadi & ‘Best Friend’ Ibu Bapa Baru