Anak kena culik adalah antara benda yang paling ditakuti oleh semua ibu bapa. Walaupun kita dah ajar anak-anak untuk tak ikut atau tak bercakap dengan orang yang tak dikenali, rata-rata kes penculikan kanak-kanak berlaku ketika anak-anak ini melakukan aktiviti harian mereka.
Macam kes Michaela Garecht ini, dia telah diculik ketika bermain skuter bersama kawannya di tempat awam. Malah, kawannya itu turut lihat sendiri penculikan yang berlaku di depan matanya. Lebih menyedihkan, walaupun ada saksi, kes ini hanya selesai selepas 32 tahun penculikan ini berlaku.
Penculikan mengejut Michaela Garecht
Pada 19 November 1988, Michaela Garecht dan rakannya Katrina Rodriguez yang berusia 9 tahun telah membawa skuter mereka untuk ke Rainbow Market yang terletak di Hayward, California bagi membeli jajan dan air gas. Mereka telah meletakkan skuter mereka di hadapan pintu sebelum masuk ke dalam kedai.
Apabila dua kanak-kanak ini keluar dari kedai, mereka mendapati skuter yang dibawa oleh Katrina telah hilang. Jadi dua kanak-kanak ini mula berpecah untuk mencarinya. Michaela kemudiannya melihat skuter rakannya itu di belakang sebuah kereta di tempat letak kereta.
Malangnya, apabila Michaela cuba untuk mengambil skuter tersebut, seorang lelaki telah menarik pinggangnya dan memaksa dia untuk masuk ke dalam kereta. Katrina pada ketika itu telah melihat apa yang berlaku dan berdiri kaku bila melihat Michaela menjerit.
Ketika kereta penculik tersebut beredar dari kawasan tersebut bersama Michaela, Katrina telah berlari masuk ke dalam kedai dan meminta penjaga kedai untuk menghubungi 911.
Katrina yang masih ingat kejadian ini telah memberitahu media pada tahun 2009 tentang apa yang berlaku:
Saya tengok bila saya dengar jeritan dan saya nampak seorang lelaki masukkan dia ke dalam kereta. Dia masih menjerit. Saya berdiri kaku dan tengok apa yang berlaku dalam keadaan terkejut.”
Namun begitu, pembantu kedai yang menelefon polis tersebut telah tersalah orang ketika dia menerangkan rupa penculik tersebut. Wanita tersebut telah bercakap tentang lelaki lain yang dia lihat di tempat letak kereta kepada polis. Rupa suspek tersebut digambarkan sebagai seorang lelaki berusia 30 tahun, bermisai dan membawa kereta berwarna gelap.
Laporan dari pembantu kedai ini kemudiannya telah dilaporkan di berita-berita yang keluar di televisyen dan surat khabar selama dua hari sebelum polis berjaya mendapatkan gambaran yang tepat dari satu-satunya saksi penculikan tersebut, Katrina.
Katrina memberitahu pihak polis yang lelaki tersebut mempunyai rambut panjang berwarna perang dan mata berwarna biru seakan-akan mata musang dan tingginya pula lebih kurang enam kaki serta badan yang kurus.
Benda yang paling jelas, muka penculik itu penuh dengan jerawat yang teruk dan Michaela telah ditarik masuk ke dalam sebuah kereta jenis sedan berwarna perang atau warna emas dan ada kesan kemalangan di bahagian hadapan kereta. Penyiasat kemudiannya menerima satu maklumat mengatakan kereta tersebut telah dilihat menghala ke selatan California namun tiada maklumat lanjut.
Pencarian besar-besaran untuk Michaela Garecht
Penculikan Michaela Garecht ini telah menjadi salah satu kes kanak-kanak hilang yang berprofil tinggi di Amerika Syarikat. Pihak polis tempatan telah menerima lebih 5,000 maklumat ketika tahun pertama siasatan dijalankan. Wang ganjaran sebanyak US$70,000 (RM300,000) turut ditawarkan, gambar Michaela diletakkan pada kotak susu dan papan iklan di seluruh negara.
Malah FBI turut mencari setiap sudut daerah Alameda menggunakan helikopter dan pesawat. Beribu-ribu risalah menunjukkan lakaran penculik telah diedarkan dan pihak polis turut mengambil cap jari dari skuter yang mereka percaya milik lelaki tersebut namun tiada bukti lain yang dapat mereka gunakan sehingga ia menjadi kes “sejuk beku”.
Bertahun-tahun selepas kehilangan Michaela Garecht, pihak polis telah menyiasat lebih 15,000 maklumat namun satu pun tak membuahkan hasil. Ibu Michaela, Sharon Murch mula membuat blog untuk dokumenkan perkembangan kes anaknya ini serta perjalanannya dirinya sepanjang siasatan dibuat.
Pada tahun 1992, seorang banduan penjara di Indiana, Roger Haggard mendakwa yang dia telah membantu rakannya untuk tanam mayat Michaela tak lama selepas kanak-kanak ini hilang. Lelaki ini telah membawa pihak polis ke satu padang bunga gladiola di Union City Californa. Namun selepas lapan jam pencarian dijalankan, Roger membuat pengakuan yang dia sengaja reka cerita ini bagi membolehkan dia mendapat pengampunan untuk bebas.
Kemudian, pada tahun 2009, Jaycee Lee Dugard telah diselamatkan selepas ditahan selama 18 tahun selepas dia diculik pada 1991. Kemunculan Jaycee ini telah memberikan harapan baru kepada siasatan Michaela. Apabila salah seorang penculiknya Phillip Garrido ditemubual, pihak polis mula menyiasat seorang lagi lelaki yang telah didakwa dalam kes penculikan di bahagian utara California.
David Misch dikenalpasti melalui cap jari
Polis kemudiannya telah menemubual beberapa penjenayah untuk beberapa tahun termasuk Tim Bindner yang merupakan suspek utama penculikan Amber Swartz di bandar berhampiran pada Jun 1988 dan salah seorang dari “Speed Freak Killers”, Wesley Shermantine.
Pada tahun 2012, Wesley memberitahu penyiasat yang dia percaya rakan jenayahnya Loren Herzog mungkin terlibat dalam penculikan Michaela. Dia kemudiannya membawa pihak polis ke sebuah perigi buta yang merupakan tempat dia dan Loren membuang mangsa-mangsa mereka.
Pihak polis berjaya menemui serpihan tulang milik sekurang-kurangnya lima individu namun satu pun bukan milik Michaela.
Kemudian, pada tahun 2020, selepas 32 tahun siasatan dijalankan, Jabatan Polis Hayward dan FBI telah berjaya mengenalpasti seorang suspek menggunakan cap jari yang diambil di skuter ketika penculikan berlaku.
Pada 21 Disember 2020, David Misch telah didakwa atas kesalahan menculik dan membunuh Michaela Garecht.
Ketika ini, David telah pun dipenjarakan selama 30 tahun selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita berusia 36 tahun pada 1989. Dia juga sedang menunggu perbicaraan tentang penglibatannya dalam penculikan dan pembunuhan dua wanita lain pada tahun 1986.
David Misch ketika tahun 1988 merupakan seorang yang tinggi, kurus, berambut perang dengan mata berwarna biru seperti gambaran Katrina. Dia juga memandu kereta yang sama dengan apa yang dilihat oleh Katrina pada ketika itu.
Tak cukup dengan itu, testimoni dari seorang saksi juga menyatakan yang dia ada lihat David di kawasan penculikan tersebut pada hari penculikan Michaela. Dengan kemajuan teknologi, seorang penyiasat telah meneliti semula cap jari yang ditemui di skuter pada tahun 1988 dan ia berjaya dikaitkan dengan David.
Namun begitu, David Misch yang masih menunggu perbicaraan mengenai penculikan dan pembunuhan Michaela ini tidak memberikan kerjasama untuk memberikan DNA mahu pun memberitahu lokasi mayat kanak-kanak tersebut.
Pihak berkuasa bagaimanapun berharap, perkembangan mengenai Michaela ini diharapnya dapat memberikan closure kepada keluarganya.
Saya harap ia dapat memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga Michaela selepas mengetahui yang keadilan akan ditegakkan walaupun selepas 32 tahun.”
Manakala ibu Michaela, Sharon turut mengeluarkan kenyataannya tentang perkembangan tersebut.
Terima kasih untuk semua kasih sayang yang telah diberikan selama tiga dekad untuk Michaela. Saya minta anda semua untuk tidak lupakan dia walaupun dia kini bukan lagi satu kes, dia adalah cahaya yang sentiasa akan menerangi kehidupan kita walaupun dia dah tak ada lagi di dunia ini.”
Allahu, sedih betul…
Sumber: ati