Pilu admin saat membaca kisah ini. Mayat seorang bayi perempuan yang cukup sifat dan baru saja dilahirkan telah ditemui dekat satu kawasan di Kampung Limau Manis, Kulim pada Rabu malam.
Menurut Harian Metro, kelahiran bayi luar nikah ini kantoi apabila ibu bayi yang baru saja berusia 19 tahun telah ke Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk terima rawatan akibat kesakitan.
Mengaku mengandung anak luar nikah, lahirkan bayi 1.45 pagi di asrama kilang
Pegawai perubatan yang merawat suspek kemudian memaklumkan kepada pihak polis sekitar jam 5.50 petang semalam sebelum Balai Polis Bukit Mertajam ke hospital untuk soal siasat.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Superintendan Zailani Mohd Yusof, wanita tu kemudian terpaksa mengaku yang dia mengandung anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki berusia 19 tahun.
Dia juga telah melahirkan bayinya sekitar jam 1.45 pagi di asrama kilang tempat dia bekerja di Seberang Perai.
Bayi yang dilahirkan tak bernyawa, minta bantuan BF untuk tanam
Malang bagi ibu muda ini, bayi yang dilahirkan tidak bernyawa dan dia yang terdesak mengambil jalan mudah dengan menelefon teman lelaki untuk meminta bantuan.
Mereka kemudian membawa mayat bayi itu dengan menaiki motosikal ke Kampung Limau Manis dan menanamnya sedalam 0.3 meter.
“Susulan pengakuan itu, polis mengenal pasti suspek lelaki sebelum menahannya yang kemudian menunjukkan lokasi mayat dibuang.
“Proses menggali mencari mayat dijalankan Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang,” kata Superintendan Zailani Mohd Yusof.
Buat masa ini, wanita terbabit masih menerima rawatan di hospital, manakala BFnya pula telah ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Polis juga mendapati kedua-dua suspek berasal dari Sik dan lelaki terbabit tidak bekerja. Mayat anak mereka juga akan dibawa ke hospital untuk dibedah siasat pada Ahad ini.
“Kesiannya kamu dik… di usia 19 tahun orang lain belajar. Kau dah jadi terlalu dewasa. Berzina, melahirkan bayi”
Rata-rata netizen yang membaca kisah ini berasa sedih dengan apa yang menimpa bayi tersebut. Ada yang mengecam, tak kurang juga yang harap remaja tersebut berubah.
Syurga buatmu si kecil…