Sebut pasal negara Singapura, pastinya ramai yang ke sana tahu yang negara berkenaan mempunyai undang-undang yang agak ketat bagi sesetengah perkara yang tidak menjadi kesalahan di Malaysia.
Sebagai contoh, sekiranya mana-mana orang awam didapati membuang sampah merata-rata, hukuman yang diberikan kepada pesalah kali pertama yang membuang ‘sampah kecil’ seperti puntung rokok atau pembungkus gula-gula didenda $300 (RM985).
Sementara itu, mereka yang membuang sampah yang lebih besar seperti tin minuman atau botol dianggap ingkar dan dikehendaki hadir ke mahkamah untuk dibicarakan.
Salah satu perkara yang sehingga hari ini menjadi tanda tanya ramai adalah pengharaman gula-gula getah atau ‘chewing gum’ yang dikenakan di negara berkenaan yang mula dikuatkuasakan pada tahun 1992.
Untuk makluman, gula-gula getah sememangnya diharamkan di Singapura di bawah Peraturan-Peraturan Import dan Eksport (Chewing Gum) yang mana larangan itu merangkumi semua jenis chewing gum yang berasal dari sayur-sayuran atau sintetik seperti gula-gula getah dan gula-gula getah pergigian.
Sekiranya didapati bersalah, ia membawa hukuman denda yang tinggi dan kemungkinan hukuman penjara bagi mereka yang ditangkap mengimport, menjual atau mengeluarkan gula-gula getah.
@joshualimkopiif you’ve ever wondered why chewing gum is banned in Singapore, here’s why♬ original sound – lim kopi
Menariknya, salah satu sebab pengharaman gula-gula getah di negara berkenaan adalah disebabkan ia pernah membuatkan pintu MRT tersekat dan gagal berfungsi dengan baik.
Perkara tersebut didedahkan oleh Josephine Teo, Menteri Perhubungan dan Penerangan & Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Singapura dalam satu sesi temubual santai di akaun TikTok joshualimkopi.
Semasa sesi tersebut, beliau yang menjadi tetamu jemputan menerima soalan daripada netizen tentang pengharaman gula-gula getah tersebut dan bolehkah peraturan tersebut dibatalkan.
Menurutnya, ketika pengharaman dibuat, terdapat satu insiden yang mana ketika itu, perkhidmatan MRT baru sahaja diperkenalkan di Singapura dan ianya merupakan salah satu pengangkutan yang pantas dan efisyen.
Namun, pada suatu ketika, pintu MRT berkenaan tidak dapat ditutup dengan rapat dan ia mengganggu keseluruhan sistem MRT. Setelah siasatan dilakukan, didapati terdapat gula-gula getah yang dilekatkan di bahagian ‘pengunci’ di pintu MRT berkenaan.
Selain itu, menurut laman web Perpustakaan Negara Singapura, salah satu objektif pengharaman chewing gum berkenaan adalah untuk mengelakkan kegiatan vandalisme di MRT, selain masalah-masalah yang bakal berlaku sekiranya ia dibuang merata-rata di tempat awam seperti panggung wayang, taman, lif dan lain-lain.
Difahamkan, sebanyak SGD 150,000 (RM492,791) dibelanjakan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura bagi membersihkan sisa gula-gula getah di kawasan perumahan di sana.
Terdahulu, pengharaman gula-gula getah di Singapura ini telah dibangkitkan sejak tahun 1983 oleh Menteri Luar Negeri dan Kebudayaan, S. Dhanabalan dan ia berkuatkuasa bermula dari 3 Januari 1992.
Baca : Durian Dibakar Lalu Disalut Keju, Menu Unik Ini Jadi Pilihan Ramai Di Singapura