Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Mohammad Shaiful Syed Hamalullail atau lebih dikenali dengan panggilan Da’i Syed sebentar tadi telah didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul seorang wanita pada Oktober lalu.
Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin dan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, tertuduh mengaku tak bersalah dan minta untuk dibicarakan, lapor Harian Metro.
Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan, Da’i Syed didakwa telah melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap seorang penuntut berusia 22 tahun di Blok Empire City, Damansara Perdana pada jam 4 pagi 17 Oktober lalu.
Sebelum ini, pendakwa raya Vitiya Monisha tak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh dengan alasan ia merupakan kesalahan yang tak boleh dijamin dan bimbang sekiranya tertuduh mengganggu mangsa, namun tadi Vitiya menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 jika mahkamah benarkan dengan syarat tambahan.
Selain itu, peguam bela Syed Amirul Syed Edros memberi jaminan kepada mahkamah yang anak guamnya tak akan melarikan diri.
Tiada risiko anak guam saya akan melarikan diri selain dia memberi kerjasama kepada polis sepanjang siasatan.
“Saya juga memohon mahkamah menetapkan jaminan yang minimum memandang pendapatannya terjejas kerana Covid-19.”
Syarat diberikan mahkamah untuk bebas dengan ikat jamin
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh untuk diikat jamin dengan RM20,000 dengan syarat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 1 hari bulan serta tidak menganggu mangsa.
Mahkamah telah menetapkan 21 Februari tahun depan untuk tarikh sebulan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Da’i Syed telah didakwa melakukan keganasan seksual mencabul mangsa yang sama pada Oktober lalu.
Da’i Syed sekali lagi mengaku tak bersalah dan meminta untuk dibicarakan.
Bagi pertuduhan ini, peguam bela sekali lagi meminta agar ikat jamin dikurangkan.
Selain itu, saya juga memohon ikat jamin dikurangkan kerana anak guam menanggung ibunya sejak 2017 selepas berpisah dengan bapanya.”
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin tapi dengan syarat tertuduh tak menganggu mangsa sehingga tarikh sebutan semula kes yang ditetapkan pada 19 Februari akan datang.
Baca: Pendakwah Selebriti Bakal Didakwa Hari Ini Atas Tuduhan Rogol & Seks Luar Tabii