in

McDonald’s Boys Case: Misteri Kehilangan Dua Kanak-Kanak Yang Pernah Menggemparkan Singapura Pada Tahun 1986

Collage 42

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pada 14 Mei 1986, dua kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, Keh Chin Ann dan Toh Hong Huat yang telah berjalan bersama untuk ke sekolah telah hilang dan tak pernah ditemui lagi sehingga hari ini.

Kes kehilangan Keh Chin Ann dan Toh Hong Huat yang merupakan rakan baik dari kelas yang sama ini merupakan salah satu kes kehilangan paling misteri dan pelik pernah berlaku di Singapura. Kes ini juga turut dinamakan sebagai The McDonald’s Boys ekoran cawangan makanan segera McDonald’s di Singapura telah menawarkan ganjaran sebanyak SG$100,000 kepada individu yang boleh memberikan maklumat berkait dengan keberadaan dua kanak-kanak ini.


Ini kisahnya…

Artikel berkaitan: Albertine Leo Ditemui Selamat, ‘Disorok’ Penculik Dalam Hotel Bajet Dekat Batang Kali

Artikel berkaitan: 7 Kes Kehilangan dan Pembunuhan Kanak-kanak Yang Pernah Menggemparkan Malaysia

Kehilangan The McDonald’s Boys

Missing Mcdonalds Boys

Pada tengahari 14 Mei 1986, seorang pelajar Darjah Enam, Keh Chin Ann yang merupakan anak bongsu dari tiga adik beradik dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga telah tiba di sekolahnya, Owen Primary School dengan menaiki bas sekolah.

Setibanya di sana, dia telah bertemu dengan salah seorang rakan kelasnya, Wang Piwei yang telah menawarkan bantuan untuk menjaga beg sekolah Chin Ann sementara rakannya itu pergi ke kedai berhampiran di luar sekolah untuk membeli sesuatu.

Piwei kemudiannya telah meninggalkan beg sekolah Chin Ann di luar bangku kedai kerana menganggap Chin Ann akan kembali untuk mengambil begnya. Tapi, itu merupakan kali terakhir Piwei melihat rakannya itu.

Manakala rakan baik Chin Ann, Toh Hong Huat yang lahir di Malaysia dan tinggal dengan ibunya Tan Geok Kuan yang juga merupakan orang Malaysia di sebuah rumah terletak sejauh 500 meter dari sekolahnya.

Kali terakhir Geok Kuan melihat satu-satu anaknya ini untuk kali terakhir adalah apabila dia keluar dari rumah dan memberitahu bahawa dia akan berjalan kaki ke sekolah bersama Chin Ann yang telah datang ke rumah untuk menjemputnya.

Geok Kuan mengatakan, ia merupakan salah satu perkara yang pelik untuk dilakukan oleh anaknya itu kerana biasanya Hong Huat mahu ibunya menemaninya ke sekolah.

Malangnya, dua kanak-kanak ini gagal untuk muncul di kelas pada jam 12.55 tengahari dan mereka tak pernah ditemui lagi selepas itu.

Siasatan dan pencarian

300Px Mcdonalds Boys Case 1988 The Straits Times

Guru kelas telah menyedari bahawa dua kanak-kanak lelaki ini tak hadir ke sekolah dan memberitahu ibu bapa mereka. Pada petang hari yang sama, selepas mendapat panggilan dari guru sekolah, ibu Hong Huat dan ibu bapa Chin Ann telah hadir ke sekolah.

Wang Piwei, yang menjadi individu terakhir melihat Chin Ann telah memberitahu cikgunya tentang ketidakhadiran rakan sekelasnya itu. Pada awalnya, cikgu yang menerima laporan ini hanya menganggap dua kanak-kanak ini telah ponteng sekolah, tapi merasa pelik kerana mereka berdua bukan pelajar bermasalah dan tak pernah ponteng. Malah, Hong Huat telah mendapat nombor satu untuk peperiksaan matematiknya.

Pada jam 7 petang, selepas gagal mencari dua kanak-kanak ini, ibu bapa mereka telah membuat laporan polis dan pencarian kanak-kanak ini telah dibuat di sekitar kawasan sekolah selama berhari-hari selepas kehilangan mereka tapi gagal menemui maklumat yang dapat membantu pihak berkuasa mengesan mereka.

Tak cukup dengan itu, pihak polis turut mengeluarkan ribuan poster kanak-kanak hilang dan mengedarkannya ke seluruh pelusuk Singapura dan turut mendesak orang ramai untuk memberikan maklumat mengenai dua kanak-kanak ini.

Sejak Mei 1988, dua tahun selepas dua kanak-kanak ini hilang, lebih 100 orang telah ditemubual oleh pihak polis untuk mendapatkan maklumat.

Pada Ogos, 1986, satu pemberi maklumat tak bernama telah membuat laporan kepada pihak polis bahawa dia telah melihat kanak-kanak hilang ini di Pulau Ubin. Ekoran ini, seramai 100 pegawai polis telah dihantar ke Pulau Ubin dan mereka telah mencari kanak-kanak ini di setiap sudut pulau tersebut bersama keluarga dua kanak-kanak ini namun gagal ditemui.

Beberapa bulan selepas insiden tersebut, ibu Hong Huat telah pulang ke Kuala Lumpur untuk mencari anak lelakinya itu. Pada tahun 1990, Geok Kuan turut meminta bantuan media tempatan dan Persatuan Cina Malaysia untuk mencari anaknya itu.

Di tahun 1987, Polis Singapura telah meluaskan carian mereka ke Malaysia dan negara-negara jiran lain seperti Indonesia dan Thailand namun masih gagal menemui Hong Huat dan Chin Ann.

Pada November 1988, dua tahun dan 6 bulan selepas kehilangan dua kanak-kanak ini, akhbar Singapura, The Straits Times telah meminta bantuan Amerika Syarikat untuk mencipta rupa terbaru Chin Ann menggunakan teknologi pengecaman muka dengan menggunakan gambar Chin Ann ketika dia berusia 12 tahun dan gambar kakak ketika berusia 14 tahun.

Tahun 1994, iaitu tahun ke-8 dua kanak-kanak ini menghilangkan diri, pihak polis telah mengeluarkan gambar terbaru Chin Ann dan Hong Huat yang telah dibuat mengikut usia mereka yang telah pun mencecah usia 20 tahun.

Ganjaran

Images 7

Walaupun bukan dari keluarga berkemampuan, keluarga Chin Ann dan Hong Huat telah menawarkan wang ganjaran sebanyak SG$1,000 seorang untuk sesiapa yang boleh memberikan maklumat mengenai kehilangan anak mereka.

Kedua-dua keluarga ini juga turut meningkatkan lagi ganjaran SG$5,000 pada Julai 1986 dan ditingkatkan lagi kepada SG$20,000 dua bulan kemudian. Keluarga ini mengatakan bahawa mereka tak ada pilihan lain selain meningkatkan lagi ganjaran kerana mereka sangat terdesak untuk mengetahui tentang keberadaan anak-anak mereka ini.

Kemudian, pada Oktober 1986, Pengarah Urusan Robert Kwan yang mengendalikan cawangan McDonald’s di Malaysia mengumumkan bahawa syarikatnya akan menawarkan ganjaran SG$100,000 kepada apa-apa maklumat baru tentang keberadaan dua kanak-kanak hilang ini. Selain itu, poster kanak-kanak hilang ini serta ganjaran yang ditawarkan turut diletakkan di setiap cawangan McDonald’s di seluruh Singapura.

Teori disebalik kehilangan The McDonald’s Boys

Source Cna Grace Yeoh Featured Image

Terdapat beberapa teori yang dibuat oleh orang ramai mengenai kehilangan Chin Ann dan Hong Huat.

Salah satu teori pertama adalah dua kanak-kanak berusia 12 tahun ini telah melarikan diri dari rumah. Namun begitu, kedua-dua ibu bapa kanak-kanak ini telah menafikan teori tersebut kerana menganggap anak mereka merupakan kanak-kanak yang tak bermasalah. Mereka juga merupakan ibu bapa yang sayangkan anak-anak mereka dan sering berikan apa yang anak-anak mereka mahukan.

Selain itu, wang elaun serta wang simpanan dua kanak-kanak ini juga tak disentuh dan mereka tak bawa wang yang banyak ke sekolah, jadi memang mustahil kalau mereka larikan diri.

Satu lagi teori adalah dua kanak-kanak ini telah diculik dan dibawa lari oleh sindiket jenayah asing untuk dibawa ke negara lain di mana mereka telah dipaksa untuk menjadi pengemis selepas anggota badan dan lidah mereka dipotong.

Namun begitu, tak ada laporan kanak-kanak hilang sebelum dan selepas kehilangan Chin Ann dan Hong Huat serta tak ada rekod dari imigresen tentang kanak-kanak yang meninggalkan negara tersebut pada masa yang sama kanak-kanak ini hilang.

Pada tahun 1994, terdapat dakwaan mengatakan beberapa orang telah melihat kanak-kanak ini menggemis di jalan-jalan di Thailand tapi tak ada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan tersebut.

Teori seterusnya adalah kanak-kanak ini mungkin telah diculik untuk wang tebusan atau dendam tapi kedua-dua ibu bapa mereka tak pernah menerima apa-apa panggilan. Selain itu, keluarga ini juga sangat tak berkemampuan di mana bapa Chin Ann, Keh Cheng Pen merupakan satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga dan gajinya juga cukup-cukup nak menampung keluarganya.

Ibu Hong Huat pula tak menerima gaji yang banyak dari kerjanya dan kedua-dua keluarga ini juga tak mempunyai konflik dengan orang sekeliling mereka.

Antara teori lainya turut mengatakan yang dua kanak-kanak ini telah dibunuh dan salah satu teori mengatakan yang mereka telah dijadikan mangsa bunuh untuk satu upacara pemujaan. Malah, pada September 1986, ketika bapa Chin Ann telah dimasukkan ke dalam hospital, dia telah menerima panggilan dari orang yang tak dikenali meminta supaya dia berhenti mencari Chin Ann dan Hong Huat kerana orang tersebut telah membunuh kanak-kanak ini untuk satu upacara keagamaan.

Ibu Hong Huat turut menerima panggilan yang lebih kurang sama di mana dia diberi amaran untuk tidak berharap yang anaknya akan pulang kembali. Namun begitu, sehingga hari ini mayat dua kanak-kanak ini tak pernah ditemui.

Dakwaan penyiasat persendirian

Source Joseph Tan In Text 2

Pada tahun 1996, 10 tahun selepas dua kanak-kanak ini hilang, seorang penyiasat persendirian Henry Tay, yang juga merupakan bekas pegawai polis telah mendedahkan siasatannya terhadap kes kehilangan Keh Chin Ann dan Toh Hong Huat.

Menurut siasatannya, lelaki ini mendedahkan bahawa kehilangan dua kanak-kanak ini ada kaitan dengan bapa Hong Huat, Toh Hoo Don.

Didedahkan bahawa Hoo Don merupakan bekas ahli kumpulan gangster manakala isterinya Tan Geok Kuan merupakan bekas pelayan bar dan mereka sebelum ini pernah memiliki perniagaan bersama iaitu sebuah syarikat bas sebelum mengalami masalah kewangan yang menyebabkan Hoo Don terpaksa menjual kesemua bas miliknya.

Pasangan ini juga dikatakan sering bertengkar dan akhirnya mereka bercerai dan Geok Kuan telah mendapat hak penjagaan anak tunggal mereka Hong Huat. Perbicaraan penceraian mereka juga turut menyebabkan Hoo Don terpaksa membayar wang yang besar kepada bekas isterinya selepas menjual bas-basnya.

Hoo Don yang sangat sayangkan anaknya telah mula menaruh dendam terhadap isterinya yang telah menghalang dia dari melawat Hong Huat. Sebelum ini, Hoo Don sering melawat Hong Huat di sekolah lamanya dan bila Geok Kuan mengetahui tentang perkara ini, dia telah memindahkan Hong Huat ke sekolah lain dan turut berpindah dari rumah asalnya di Sembawang kerana bimbang bekas suaminya mengambil anaknya. Maklumat ini telah disahkan oleh bekas pengetua sekolah di dalam satu temubual dokumentari.

Dari siasatan ini juga, Henry membuat teori bahawa Hoo Don telah bertemu dengan Hong Huat pada hari dia hilang dan mengambilnya, dan disebabkan Chin Ann ada bersama, dia juga turut diambil sehingga menyebabkan dua kanak-kanak ini hilang.

Turut didedahkan bahawa Hong Huat bukan anak yang sah kepada Geok Kuan dan ia merupakan anak Hoo Don dengan bekas teman wanitanya yang dikenali sebagai “Samsu”. Disebabkan Samsu tak mahukan anak tersebut, Geok Kuan telah mengambil Hong Huat dan membuat sijil lahir palsu mengatakan bahawa dia merupakan ibu kandungnya.

Dakwaan ini bagaimanapun telah dinafikan oleh Geok Kuan dan wanita ini menegaskan bahawa dia merupakan ibu kandung Hong Huat. Malah, Hoo Don pernah ditahan sebagai suspek sebelum ini tapi selepas disoal siasat selama 24 jam, lelaki ini dibebaskan kerana tak mempunyai bukti yang cukup.

Kemudian, pada tahun 2010, kes ini sekali lagi menjadi sebutan selepas salah seorang individu mendakwa yang dia telah melihat dua kanak-kanak lelaki ini telah bermain dengan seorang perempuan di taman belakang hospital sebelum mereka bertembung dengan seorang lelaki yang cuba untuk mengambil Hong Huat. Chin Ann telah mengikuti mereka dan bertanya tentang identiti lelaki tersebut dan lelaki itu menjawab bahawa dia merupakan bapa Hong Huat.

Dikhabarkan, dua kanak-kanak ini telah dibawa ke Johor dan mereka tinggal di kampung pedalaman dan menjadi gangster bila dah dewasa. Dakwaan ini bagaimanapun tak dapat dibuktikan ekoran kekurangan bukti.

Namun begitu, sehingga hari ini dua kanak-kanak ini masih gagal ditemui walaupun secara rasminya Chin Ann dan Hong Huat telah diisytiharkan meninggal dunia.

Sumber: TheHomeGround Asia, Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.