Polis percaya wanita yang ditemui mati dalam sebuah beg yang ditanam di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau, telah dibunuh di sebuah kediaman di Ampang, Selangor sebelum mayatnya dibawa ke Kampung Batu 4, Pedas, Rembau.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat dicekik selepas berlaku pertengkaran berkaitan masalah kewangan dengan seorang suspek lelaki berusia 51 tahun di rumah mangsa.
Beliau berkata, identiti wanita tersebut masih belum dapat dikenal pasti kerana mayat berada dalam keadaan mereput, selain keputusan ujian DNA yang masih belum diperoleh dan tiada tuntutan dibuat setakat ini.
Susulan penemuan itu, polis menahan dua lelaki berusia 51 dan 41 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sementara siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel berkaitan: Kes Mayat Wanita Dalam Beg, Suspek Utama Kes Direman 7 Hari
Artikel berkaitan: Identiti Masih Belum Dikenalpasti, Mayat Wanita Dalam Beg Kekal Misteri
Terdahulu, Harian Metro melaporkan, proses tuntutan terhadap mayat wanita itu masih belum dapat dilaksanakan berikutan identiti mangsa yang belum disahkan.
Muhammad Idzam berkata, walaupun siasatan awal menjurus kepada seorang wanita yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor, pengesahan rasmi identiti masih diperlukan sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diambil.

Menurut beliau, sampel DNA telah diambil daripada beberapa ahli keluarga dan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk analisis, dengan keputusan tertakluk kepada pihak berkenaan.
“Buat masa ini, pengecaman secara fizikal tidak dapat dilakukan kerana keadaan mayat yang telah mereput. Oleh itu, siasatan bergantung sepenuhnya kepada keputusan ujian DNA,” katanya.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro
