Kalau kita sembang pasal roti canai, nasi kandar mesti tak boleh kalahkan menu di restoran mamak. Makanan-makanan restoran mamak memang dah jadi satu menu wajib bagi rakyat Malaysia.
Tambah pula, bila sekarang kita semua dah dibenarkan untuk dine-in, tempat tumpuan orang ramai semestinya restoran mamak. Tak kira dari yang muda sehingga tua, memang akan ada di situ. Spot terbaik untuk lepak lah orang kata!
Namun, sejak negara kita dilanda pandemik Covid-19 sejak akhir 2019 dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pengusaha restoran mamak mengalami waktu yang sukar kerana terpaksa menghentikan operasi mereka untuk berbulan lamanya.
Disebabkan itu juga, mereka berdepan dengan risiko untuk ditutup kerana kekurangan tenaga pekerja. Menurut Harrisrajudin Alaudin selaku Timbalan Presiden Muslim India Malaysia (Kimma) berkata bahawa ketika ini lebih 40% pekerja asing melibatkan warganegara India, Bangladesh dan Indonesia telahpun pulang ke negara asal mereka sejak tahun lalu.
“Masalah itu semakin meruncing kini dan ternyata menjejaskan operasi perniagaan restoran sehingga ada yang turut terpaksa menutup premis atau gulung tikar” – Harrisrajudin
Katanya lagi, walaupun jumlah pelanggan kembali meningkat selepas PKP dilonggarkan, tetapi perkhidmatan premis makanan itu agak merosot kerana kepadatan pelanggan yang datang kerana mereka kekurangan tenaga pekerja.
Ketika ini, pihak Kimma berkata bahawa mereka telah menjanjikan ganjaran lumayan bagi sesiapa yang ingin bekerja di restoran makanan tetapi sambutan dari orang tempatan tidak menggalakkan. Oleh itu, pihak Kimma sedang menimbangkan kebenaran untuk membawa masuk semula beberapa pekerja asing supaya dapat menyelamatkan ekonomi negara.
Baca: “Duh sayang betul dihancurkan” – Aiskrim ‘Geprek’ Trend Baru Orang Indonesia Makan Dessert