Bayangkan korang mengerah tulang empat kerat bekerja untuk menyara kehidupan, tapi bila dengar seorang individu ini menjana pendapatan dengan hanya mengemis, apa korang rasa?
Baru-baru ini, kecoh di India seorang pengemis dikatakan terkaya di dunia apabila berjaya memiliki beberapa aset dan pendapatan lumayan.
Pengemis yang dikenali Bharat Jain dilaporkan memiliki kekayaan hingga 75 juta rupee (lebih RM4.2 juta), selain menjana hasil mengemis bulanan antara 60,000 rupee (RM3,391.62) hingga 75,000 rupee (RM4,239.52).
Bukan hanya mampu menanggung isteri, dua anak, abang dan ayahnya, Bharat juga memiliki sebuah flat bernilai 12 juta rupee (RM678,323.29) selain dua kedai sewa pada harga 30,000 rupee (RM1,695.81) sebulan.
Sepanjang mengemis, Bharat berjaya memperoleh Rs 2,000-2,500 (RM113 to RM141) sehari dalam masa 10 hingga 12 jam, berkat sikap pemurah orang ramai.
Menurut India Times, Bharat tidak memiliki pendidikan secara formal disebabkan kewangan yang tidak stabil dan disebabkan itu dia memilih mengemis untuk menyara hidup.
Namun, dia tidak mengabaikan anaknya dengan memberi peluang pendidikan dan mereka telah berjaya menamatkan persekolahan. Sementara itu, ahli keluarga yang lain menguruskan perniagaan sebuah kedai alat tulis.
Enggan berhenti mengemis
Walaupun direkodkan sebagai orang kaya, Bharat masih meneruskan pekerjaannya sebagai pengemis di stesen kereta api Chhatrapati Shivaji Terminus atau Azad Maidan di ibu kota Mumbai.
Walaupun sudah dihalang oleh keluarga selepas berkemampuan, tetapi Bharat tidak pernah mengendahkannya dan meneruskan kerjayanya sebagai pengemis.
Mungkin Bharat juga pandai mengurus kewangan jadi tidak hairanlah dia mampu memiliki aset sebanyak ini.
Baca: Miliki Harta Jutaan Ringgit Tapi Dipanggil Pengemis, Ini Kisah Ahmad Dawjee ‘Jutawan Akhirat’